Stor haram LPG bersubsidi diserbu - Utusan Malaysia

Stor haram LPG bersubsidi diserbu

PASUKAN penguat kuasa KPDNHEP Selangor merampas gas LPG bersubsidi dalam serbuan stor haram di Puchong, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Sebuah stor haram menyimpan gas petroleum cecair (LPG) diserbu Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, dalam serbuan itu,  sebanyak 201 silinder LPG bersubsidi pelbagai berat dan jenama dirampas dengan nilai rampasan berjumlah RM49,040 yang turut melibatkan baranagan lain seperti kenderaan. 

Menurut beliau, hasil aduan orang ramai, pihaknya melakukan siasatan dan pemilik premis gagal untuk mengemukakan lesen bagi menyimpan  barang kawalan berjadual LPG. 

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan kami telah menemui dua lori yang digunakan untuk tujuan penghantaran gas sekitar Puchong. 

“Sebanyak 48 silinder LPG 14  kilogram (kg) dan 20 silinder LPG 12 kg jenama Petronas (berisi) ditemui dalam premis itu dan sejumlah 128 silinder LPG 14 kg dan lima silinder 12 kg jenama Petronas (kosong) turut ditemui ditempat kejadian. 

“Keterangan awal daripada seorang suspek yang ditemui di lokasi kejadian  memaklumkan penghantaran gas tersebut adalah untuk membekalkan gas di sekitar bandar Puchong,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata,  premis terbabit dikatakan sentiasa tertutup dan berkunci bagi mengelak kegiatan haram itu dihidu oleh pihak berkuasa.

Katanya, stor tersebut didapati telah beroperasi  sejak sebulan yang lalu dan waktu operasi adalah antara 9.00 pagi hingga 7.00 malam. 

Beliau menjelaskan, kes disiasat di bawah seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menyimpan  barangan kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan  dan jika sabit kesalahan  boleh didenda tidak melebihi  RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga  tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama jika melibatkan individu.

Sebaliknya, kata beliau, jika melibatkan pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta. 

“Saya ingin menegaskan pihak kami akan menjalankan  siasatan terperinci bagi mengesan dalang atau sindiket yang terlibat disebalik aktiviti ini sehingga kerajaan mengalami kerugian jutaan ringgit akibat aktiviti  penyelewengan gas LPG bersubsidi. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti ini disarankan supaya melaporkan melalui  hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau  hadir sendiri ke mana-mana pejabat KPDNHEP yang berhampiran,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya