Spekulasi darurat kelirukan orang ramai - Utusan Malaysia

Spekulasi darurat kelirukan orang ramai

Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan perintah darurat bagi menangani penularan wabak Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi mengelirukan rakyat sama ada ia dilaksanakan di seluruh negara atau kawasan tertentu.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, kerajaan perlu merangka strategi dengan lebih berkesan sebelum sesuatu pengumuman dibuat.

Ini bertujuan bagi mengelakkan salah faham atau mencetuskan huru-hara dalam kalangan orang ramai pada saat keselamatan dan kesihatan mereka masih belum terjamin daripada jangkitan wabak berkenaan.

“Pentakrifan darurat boleh menimbulkan panik terhadap orang ramai jadi ia haruslah dilakukan dengan lebih berstrategi mengikuti peruntukan undang-undang negara.

“Apabila situasi panik ini berlaku, orang ramai akan tertanya-tanya dan akhirnya akan menimbulkan ketidaktentuan dalam sistem sosial masyarakat.

“Jadi dengan pemahaman terhadap undang-undang ini akan memudahkan proses komunikasi antara kerajaan dengan rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Media tempatan semalam melaporkan, Kabinet bersetuju dengan pelaksanaan ‘darurat’ bagi menangani wabak Covid-19. Muhyiddin juga dikatakan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah mengadap Seri Paduka di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang, petang semalam.

Sementara itu, penganalisis politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, pelaksanaan darurat yang dilihat sebagai ‘jalan terakhir’ dalam menangani krisis kesihatan global itu cukup sekadar dilaksanakan di beberapa kawasan di negara ini.

“Kalau kerajaan mahu buat, kena senaraikan apakah bentuk darurat yang akan dilakukan kerana darurat ini boleh terdiri dalam pelbagai jenis dan tidak semestinya tentera mengambil alih. Ini akan membuatkan orang ramai lagi takut,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin, pelaksanaan perintah darurat mempunyai hubungan rapat dengan kemelut politik terutamanya tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencuba merampas kuasa daripada Muhyiddin.

“Saya berpandangan darurat yang berlaku semalam ada perkaitan dengan kemelut politik antara kerajaan dan pembangkang sekarang ini. Ini terbukti kerana kita memiliki kerajaan yang paling lemah dalam sejarah Malaysia dan hanya berselindung di belakang Yang di-Pertuan Agong dan saling berebut kuasa.

“Malah Perdana Menteri juga tiada jalan keluar dan ini (darurat) mungkin dijadikan sebagai pilihan terakhir (untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional) walhal beliau seharusnya harus meletakkan jawatan atau memberi ruang lebih besar kepada UMNO,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN