Permohonan pendaftaran parti Pejuang tidak lengkap - Utusan Malaysia

Permohonan pendaftaran parti Pejuang tidak lengkap

KERATAN akhbar Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) didapati masih tidak lengkap sebelum pertimbangan dibuat untuk meluluskan penubuhan parti itu.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) memaklumkan, sehingga semalam, berdasarkan semakan rekod pihaknya menerusi sistem eROSES mendapati, permohonan pendaftaran parti itu belum diselesaikan sepenuhnya.

Bagi tujuan tersebut, katanya, pihak Jawatankuasa Penaja parti berkenaan diingatkan untuk berhubung terus dengan jabatan itu bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran tersebut. 

“Jawatankuasa Penaja telah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem sebelum pertimbangan sewajarnya dilakukan. Justeru, permohonan pendaftaran ini masih dalam penelitian dan semakan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu turut menjelaskan, dakwaan parti Pejuang bahawa belum ada tanda-tanda parti itu akan diluluskan setelah lebih dua bulan permohonan bertulis dan secara dalam talian dikemukakan, adalah tidak berasas sama sekali.

 Katanya, dakwaan berkenaan juga tidak wajar kerana pihak Jawatankuasa Penaja Parti telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama pihak jabatan itu bagi tujuan semakan selain mendapatkan pandangan mengenai tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap permohonan tersebut.

Tambahnya, perkara itu telah pun dinyatakan sendiri oleh parti berkenaan dalam kronologi kenyataan media mereka semalam.

“Seperti yang dimaklumkan kepada Jawatankuasa  Penaja Parti bahawa semakan terperinci hendaklah dilakukan pada setiap permohonan yang dikemukakan termasuk dokumentasi terutamanya perlembagaan yang merupakan rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar,” katanya.

Justeru, katanya, parti itu diingatkan agar tidak menggunakan logo, lambang serta simbol sehingga pertubuhan tersebut didaftarkan secara sah di bawah Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

 JPPM adalah jabatan yang melaksanakan tugas dan fungsi dengan adil dan saksama berdasarkan Rule of Law selaras dengan peruntukan akta tersebut.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya