Pergerakan mencurigakan bongkar aktiviti seludup arak - Utusan Malaysia

Pergerakan mencurigakan bongkar aktiviti seludup arak

MUHD. Zailani (tengah) menunjukkan arak seludup bernilai RM628,433 yang dirampas pihaknya dalam tiga serbuan di lokasi berasingan semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pergerakan sebuah kereta mencurigakan di Jalan Paya Manis, Taman Johor semalam telah membawa penemuan dua premis yang menyimpan 3,229 liter arak seludup bernilai RM628,433 di sekitar bandar ini.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, pihaknya berjaya mengekori sebuah kenderaan yang dinaiki dua lelaki tempatan berusia 24 dan 52 tahun ketika melakukan operasi penguatkuasaan di kawasan pantai Forest City,

“Pihak polis kemudian menahan kedua-duanya dan mendapati mereka sedang menjalankan urus niaga arak seludup. Hasil soal siasat terhadap mereka telah membawa kepada serbuan di dua lokasi berasingan di Taman Johor dan Taman Bukit Kempas antara pukul 4.40 dan 7.30 petang. 

“Pemeriksaan dijalankan itu menyaksikan sejumlah 235 kotak dan 65 karton minuman keras beserta sebuah kenderaan dengan keseluruhan bernilai RM703,433 berjaya dirampas polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Muhd. Zailani memberitahu, kedua-dua suspek beserta barang rampasan kemudian dibawa ke Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d)Akta Kastam 1967. 

“Pasukan Polis Marin Wilayah Dua akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain dalam menangani isu penyeludupan dalam memastikan aktiviti ini dapat dikekang,” ujarnya. 

Tambah beliau, sehubungan itu pihaknya turut berharap masyarakat boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan menghubungi talian 072372221. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.