Pas tak cukup kuat jadi pendamai - Utusan Malaysia

Pas tak cukup kuat jadi pendamai

AHMAD ATORY HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pas tidak mampu menjadi pendamai dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi membaiki keretakan hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang semakin meruncing.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, Pas tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi bagi memainkan peranan tersebut kerana hanya mempunyai bilangan 18 ahli Parlimen.

Bagaimanapun, sekiranya hubungan parti politik dalam PN gagal diselamatkan, Pas diyakini akan terus bersama UMNO kerana sudah membentuk piagam dalam Muafakat Nasional (MN).

“Bagaimana hendak jadi pendamai? Kerusi Pas pun tidak banyak, sama ada hendak menjadi pendamai atau sebaliknya bergantung kepada bilangan kerusi yang dimiliki. Pas serba salah sebab baik dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan baik juga dengan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya lihat apa-apa hal yang berlaku, Pas akan tetap bersama UMNO. Parti itu akan kembali kepada kubunya iaitu MN,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Atory yang merupakan bekas pensyarah sains politik di Universiti Sains Malaysia (USM) menjelaskan, masih terlalu awal untuk meramalkan hubungan parti politik dalam PN sama ada terus bertahan atau sebaliknya.

Katanya, situasi yang berlaku sekarang adalah cabaran yang perlu dihadapi dan menguji setiap komponen parti dalam mendepani masalah tersebut.

“Dalam piagam MN menyatakan sebarang masalah yang dihadapi perlu diselesaikan melalui mesyuarat. Kesepakatan yang dibuat ini juga adalah penuh kesungguhan bukannya dibuat secara main-main.

“Oleh itu, mereka perlu faham ini adalah cabaran semasa bekerjasama, jadi kita akan lihat bagaimana UMNO, PPBM dan Pas akan menguruskan cabaran itu,” katanya.

Sementara itu, Pas Perak yakin UMNO tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi membentuk kerajaan baharu seperti yang diramalkan.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, jika ia berlaku juga, tindakan itu adalah untuk kepentingan peribadi, bukannya untuk agama dan bangsa.

“Pada saya, sekiranya mereka mengambil tindakan seperti itu, ia ibarat menempah jalan mati,” katanya dekat sini semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN