Orang ramai tidak lagi peduli pakai pelitup muka? - Utusan Malaysia

Orang ramai tidak lagi peduli pakai pelitup muka?

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Walaupun diketahui akan dikenakan kompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka, orang ramai seolah-olah tidak mempedulikan arahan itu apabila sebanyak 182 individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam akibat kesalahan tersebut.

 Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia merupakan tangkapan tertinggi daripada 467 kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 460 individu telah dikompaun, enam individu pula direman, manakala seorang dijamin. 

Menurut beliau, antara kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (110), penjarakan fizikal (106), premis beroperasi lebih masa (lima) dan lain-lain kesalahan (64). 

“Sebanyak 72,836 pemeriksaan telah dibuat melalui Task Force Operasi Pematuhan melibatkan 2,913 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan 12,744 anggota. 

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta  mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang  tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Operasi Benteng telah berjaya menahan 58 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta berjaya merampas dua bot dan dua kenderaan darat selain melaksanakan  265 sekatan jalan raya.  

Daripada jumlah itu, katanya, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 33 PATI di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

“Sehingga semalam, seramai 49,923 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dengan 9,261 individu sedang menjalani  kuarantin wajib di 72 hotel dan 16 premis lain. 

“Seramai 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 40,281 individu telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya