PORT DICKSON: Kerja-kerja bagi menggali dan mencari saluran paip berkaitan masih diteruskan susulan kejadian limpahan minyak mentah di Kilometer 1, Jalan Seremban dekat sini berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam sejak petang kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar Negeri Sembilan, S. Veerapan berkata, kerja-kerja tersebut melibatkan pelbagai agensi dan pihak termasuk syarikat berkaitan hasil minyak.
“Semua syarikat berkaitan hasil minyak juga telah hadir bekerjasama untuk mengekang minyak mengalir masuk ke laut tanpa mengira punca daripada saluran paip syarikat siapa. Kerja-kerja masih diteruskan dan pihak-pihak berkaitan masih berada d ilokasi.
“Pihak TNB telah tiba awal di lokasi kejadian dan diikuti dengan bomba, kemudian pihak-pihak lain yang ada berkepentingan telah turun ke lokasi untuk mencari penyelesaian ke atas isu ini. Saya telah maklumkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkenaan perkara ini dan mereka tiba ke lokasi dan mengambil sampel minyak,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihakya telah ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada pukul 6.22 petang, kelmarin.
“Setibanya di tempat kejadian, di dapati benar terdapat sumber minyak mentah daripada bawah tanah dan ia telah mengalir ke dalam longkang.
“Tindakan operasi adalah mendapatkan bantuan ‘oil boom’ 12 unit daripada Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar (SJTJ) untuk mengawal pencemaran minyak dari mengalir ke laut. JAS juga telah dihubungi untuk tindakan selanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk M. Ravi yang meninjau kawasan kejadian berkata, memang terdapat limpahan minyak yang telah mengalir ke laut dan kawasan pantai yang terjejas juga sudah dibersihkan.
“Setakat ini tidak pasti limpahan minyak ini daripada mana cuba saya dimaklumkan dan berkemungkinan daripada paip lama sebelum ini, saluran paip ini memang tidak lagi digunakan namun tidak dapat dipastikan syarikat yang memilikinya,” katanya. -UTUSAN










