MELAKA: Malaysia boleh mengorak langkah dalam pembaharuan melaksanakan pilihan raya secara e-voting atau digital sesuai dengan amalan norma baharu yang dipraktikkan sekarang bagi membendung pandemik Covid-19 daripada terus menular.
Penganalisis politik, Muhammad Anwar Fahmi Hari Das Abdullah berkata, sebarang bentuk pilihan raya termasuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika perlu dilakukan dalam tempoh pandemik ini tidak wajar diadakan secara konvensional.
Katanya, kempen, syarahan dan pidato boleh dilakukan secara siaran langsung melalui khidmat media arus perdana seperti media elektronik atau media cetak, mahupun media baharu yang kini capaiannya semakin meluas.
“Kita sudah melihat impak daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tempoh hari apabila peningkatan mendadak kes positif Covid-19 termasuk melibatkan pemimpin-pemimpin politik yang berkemungkinan akibat perhimpunan beramai-ramai atau tiada pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
“Sekiranya keputusan akhir nanti ekoran pergelutan politik ini memerlukan pembubaran Parlimen, mengapa tidak PRU-15 diadakan secara e-voting mengikut amalan negara-negara maju,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyarankan PRU-15 diadakan segera bagi menyelesaikan kemelut serta ‘kenakalan’ politik ketika ini.
Beliau mencadangkan agar pemimpin politik atau calon perlu dilarang daripada mengadakan kempen secara fizikal seperti ceramah umum, ceramah kelompok, kempen rumah ke rumah dan edaran risalah.
Sementara itu, Muhammad Anwar Fahmi yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga wajar bersedia melaksanakan pembaharuan bagi kaedah itu.
“Kementerian Kesihatan menyarankan amalan norma baharu, maknanya jika PRU-15 benar-benar menjadi pilihan, SPR wajar bersedia membuka lembaran baharu untuk pilihan raya itu dipertimbangkan diadakan secara dalam talian atau e-voting,” ujarnya. – UTUSAN










