KTMB lanjutkan diskaun 50% tiket ETS, Antara Bandar - Utusan Malaysia

KTMB lanjutkan diskaun 50% tiket ETS, Antara Bandar

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai tiga jam Datuk Seri Najib Tun Razak meluahkan rayuan menerusi akaun sosial beliau berhubung tawaran diskaun tiket Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) , tanpa dijangka Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong segera bertindak pantas.

Menteri Pengangkutan itu tidak mengambil masa yang lama apabila terus mengarahkan pihak KTMB melanjutkan tawaran diskaun sehingga 16 November.

Menerusi hantaran dalam akaun Facebook beliau, Ka Siong telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Kamarulzaman Zainal menyambung promosi itu demi kepentingan rakyat.

“Setelah baca FB post DS Najib mengenai tawaran 50 peratus diskaun ETS (perkhidmatan tren elektrik) dan Antara Bandar, saya rasa terpanggil untuk hubungi pihak KTMB,” katanya.

Ia susulan rayuan bekas Perdana Menteri itu agar potongan separuh harga yang sepatutnya berakhir 9 November ini disambung seminggu lagi bagi meringankan beban penumpang.

Tambang istimewa hasil inisiatif operator rel itu ekoran lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk membantu pekerja sektor dibenarkan berulang alik dengan harga murah.

“Saya telah mengarahkan pihak KTMB melanjutkan tawaran itu seminggu selepas tempoh PKPB di Lembah Klang tamat agar ramai pengguna dapat menikmati manfaat ini,” kata beliau.

Ka Siong malah menambah, kementerian beliau sentiasa dengar suara rakyat dan prihatin serta komited bantu masyarakat khususnya ketika waktu sukar akibat isu pandemik Covid-19.

Hantaran beliau itu menerima reaksi luar biasa daripada pengguna media sosial apabila meraih 7.6 ribu tanda suka selain hampir 700 komen positif dan dikongsi lebih 600 kali. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya