KLANG: Seorang pekerja wanita kedai barangan dan pakaian terpakai berdepan detik cemas apabila premisnya dimasuki penyamun dalam kejadian dekat Jalan Kapar, Batu 3 di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, penyamun terbabit sempat mencampakkan kad pengenalan milik wanita tersebut dari beg tangan mangsa.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Fauziah, 36, berkata, lelaki terbabit sempat melarikan 30 telefon bimbit yang rosak dan wang tunai RM270.
Menceritakan detik tersebut, wanita terbabit berkata, ketika kejadian, dia berseorangan dalam kedai.
Katanya, suspek berusia 20-an datang bersama rakannya dengan menaiki motosikal tidak menanggalkan topi keledar serta beg silang dipercayai mengandungi senjata tajam.
“Lelaki ini kemudiannya membuka topi keledar dan meletakkan di satu sudut kedai ini sebelum bertanyakan lokasi baju lelaki dan kasut.
“Namun, secara tiba-tiba dia terus ke kaunter sebelum merampas 30 jenis telefon bimbit telah rosak. Malah, dia juga mengambil duit tabung sedekah dianggarkan bernilai RM200 serta wang tunai RM70 daripada beg dompet saya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, suspek turut bertindak mengugutnya dan menyuruhnya supaya tidak menjerit dan melakukan sebarang tindakan sekiranya tidak mahu dicederakannya.
“Lelaki ini juga melarikan beg tangan saya tetapi bertindak mencampakan kad pengenalan sebelum melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di luar premis.
“Saya terus membuat laporan polis di Balai Polis Kapar selepas kejadian. Malah, sehingga kini, saya masih lagi trauma dengan kejadian tersebut.
“Kedai ini beroperasi sejak lima tahun lalu dengan hasil jualan adalah untuk menampung aktiviti pertubuhan anak-anak yatim,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular video berdurasi satu minit 29 saat yang memaparkan aksi suspek sepanjang berada di kaunter kedai itu di laman aplikasi Telegram dan Facebook. – UTUSAN ONLINE










