JHEAT, dua pejabat agama ditutup hari ini untuk nyah cemar - Utusan Malaysia

JHEAT, dua pejabat agama ditutup hari ini untuk nyah cemar

JABATAN Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dua pejabat agama di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu, Terengganu ditutup untuk aktiviti nyah cemar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan dua pejabat agama di Kompleks Seri Iman di sini ditutup sementara pada hari ini. 

JHEAT dalam satu kenyataan berkata, penutupan sementaranya di samping Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus selama satu hari itu bagi kerja-kerjq nyah cemar. 

“Sehubungan itu, segala urusan kaunter dan pelanggan membabitkan ketiga-tiga jabatan tidak akan beroperasi buat sementara waktu manakala semua pegawai dan kakitangan diarahkan bekerja dari rumah.

“Urusan kaunter dan pelanggan akan beroperasi semula seperti biasa esok. Segala kesulitan amat dikesali dan semoga kita semua terhindar daripada wabak penyakit yang tidak diingini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi JHEAT di sini hari ini. 

Difahamkan, penutupan premis di pusat pentadbiran Islam negeri itu mempunyai kaitan dengan pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengesahkan dirinya positif Covid-19 semalam. 

Dalam perkembangan sama, JHEAT berkata, kelas Muallim, Takmir dan Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di seluruh negeri turut ditangguhkan bermula hari ini hingga diberitahu kelak susulan peningkatan kes Covid-19.

Di samping itu, arahan sama turut membabitkan ujian temu duga tahun satu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) bagi sesi 2021 yang dijadualkan Sabtu lalu. 

“Sebarang maklumat terkini boleh didapati di sridionline.terengganu.gov.my,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya