Jangan rahsia status kesihatan elak malapetaka - Utusan Malaysia

Jangan rahsia status kesihatan elak malapetaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pihak termasuk ibu bapa dan guru perlu peka dengan keadaan sekeliling dan tidak merahsiakan sekiranya terdapat mana-mana individu dijangkiti virus Covid-19.

Menyifatkan ia sebagai suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, Covid-19 adalah pandemik yang perlu dibendung penularannya.

“Kalau ada yang merahsiakan perkara ini, ia tindakan berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Jika jangkitan tersebut merebak kepada pelajar atau murid lain, ia mungkin menyebabkan malapetaka kepada pihak lain pula.

“Jangan ada mana-mana pihak yang merahsiakan perkara ini kerana hanya ingin menyambung sesi persekolahan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia semalam.

Beliau berkata demikian berikutan terdapat dakwaan seperti tular dalam media sosial beberapa sekolah yang merahsiakan pelajar atau guru didapati positif Covid-19 atas alasan tidak mahu menimbulkan kebimbangan kepada pihak lain.

Mohamad Ali berkata, situasi seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana semua pihak seharusnya patuh pada arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menutup sekolah bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

“Perdana Menteri dah berikan kata putus. Sekolah boleh buat keputusan untuk menutup sekolah jika ada jangkitan.

“Diharapkan pelajar atau murid yang dijangkiti patuh kuarantin di rumah dan buat saringan dengan klinik kesihatan. Jangan ambil ringan dan pastikan anak-anak mengikut aturan yang diberikan,” ujarnya.

Untuk tempoh sementara, katanya, sesi pembelajaran secara dalam talian boleh dilakukan di rumah seperti yang pernah dipraktikkan sebelum ini oleh semua sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN