Jangan mudah gelap mata – Noor Kumalasari - Utusan Malaysia

Jangan mudah gelap mata – Noor Kumalasari

NOOR Kumalasari menasihati artis supaya mengambil peduli latar belakang individu yang mendekati mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seniwati tanah air, Noor Kumalasari menggesa semua artis supaya tidak mudah gelap mata apabila disogok de­ngan duit menggunung apatah lagi jika dari awal mengetahui bukan daripada sumber halal.

Beliau berkata, artis atau instafamous perlu mengambil berat perkara itu termasuk peduli latar belakang individu yang mendekati mereka meskipun tawaran yang datang menjanjikan bulan dan bintang.

“Sekarang ini macam-macam scam ada. Skim cepat kaya atau apa sahajalah yang kononnya menawarkan kerja yang sedikit, tetapi pulangannya beribu atau berjuta ringgit.

“Janganlah mudah percaya, sekurang-kurangnya siasatlah siapa individu itu dan sejauh mana kebenaran pekerjaan yang ditawarkan kerana artis membawa nama dan kedudukan mereka dalam industri.

“Yang kena teruk nanti, diri sendiri juga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam bagi mengulas isu artis terjebak scam dan skandal tertentu demi meraih kemewahan segera.

Mingguan Malaysia semalam melaporkan, penampilan mewah luar biasa dan dalam sekelip mata oleh segelintir artis dan instafamous tempatan dipercayai hasil penglibatan dalam sindiket pelacuran kelas tasan.

Sumber Suruhanjaya Pen­ce­gahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu, mereka dibayar antara RM20,000 hingga RM40,000 untuk satu malam sebagai melampias nafsu golo­ngan kelas atasan.

Aktres berusia 64 tahun itu juga melihat situasi penggunaan media sosial secara tidak terka­wal sebagai antara punca ramai berlumba-lumba mempertonton gaya hidup masing-masing.

“Dulu tak macam zaman sekarang, media sosial seolah-olah sudah menjadi platform utama untuk mereka tayangkan kemewahan dan gaya hidup demi meraih populariti.

“Ada juga yang ghairah tayang perkara tak patut melibatkan maruah. Kalau ada yang terjebak dengan skandal yang disebutkan, mohon ingatlah pada ibu bapa sendiri dan janganlah cemarkan nama baik keluarga.

“Jadilah low-profile, elakkan menarik lebih banyak masalah dan jangan terlibat dengan duit haram. Apa sahaja yang dilakukan, kembalilah pada dasar agama kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN