Dakwaan lawatan pegawai kanan ‘ditaja’ sindiket disiasat - Utusan Malaysia

Dakwaan lawatan pegawai kanan ‘ditaja’ sindiket disiasat

ZAMRI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh melibatkan polis yang dikaitkan dengan jenayah Macau Scam serta perjudian dalam talian termasuk dakwaan pegawai kanan yang dikatakan melancong ke luar negara ‘ditaja’ oleh sindiket berkenaan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya berkata, siasatan dilakukan bagi mendapatkan bukti sekiranya individu tersebut ada membuat lawatan ke luar negara seperti dakwaan tersebut.

“Selain itu, siasatan juga akan menjurus kepada pihak yang menaja lawatan mereka ke luar negara itu.

“Jika mereka pergi dengan perbelanjaan sendiri, maka perlu berikan bukti-bukti berkaitan. Bagaimanapun, jika didapati ditaja oleh sindiket, adalah satu kesalahan dan akan dikenakan tindakan tatatertib,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Baru-baru ini, tular gambar di media sosial berhubung dakwaan pegawai kanan polis melancong yang dikatakan ditaja oleh sindiket Macau Scam.

Dalam pada itu, Zamri berkata, dua anggota polis yang ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 kerana dipercayai membantu melindungi kegiatan ‘cuci duit’ oleh sindiket Macau Scam dan judi dalam talian akan dikenakan perintah tahan kerja.

“JIPS masih menjalankan siasatan lanjut dan sudah pasti tindakan tatatertib akan diambil termasuk tahan kerja akan diambil,” katanya.

Terdahulu, dua anggota polis berpangkat koperal serta seorang lelaki memiliki gelaran Datuk palsu direman selama 21 sehingga 3 November depan di bawah POCA bagi membantu siasatan kes perjudian atas talian di Cheras.

Selasa lalu, seorang lagi suspek utama yang sebelum ini menjadi buruan polis apabila meloloskan diri dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) , Goh Leong Yeong atau Alvin, 32, ditahan di Genting Highlands, Pahang selepas 15 hari menyembunyikan diri.

Alvin ditahan kira-kira pukul 1 pagi bersama seorang wanita warga China dipercayai teman wanitanya dan kini direman tiga hari di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN