Calon SPM, STPM Sabah tinggal di asrama - Utusan Malaysia

Calon SPM, STPM Sabah tinggal di asrama

DR. MOHD. RADZI MD. JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan sedang meneliti cadangan untuk menempatkan para pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di asrama terutama mereka yang tinggal di kawasan yang berdepan masalah liputan internet.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, cadangan itu antara perkara yang diutarakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah berdasarkan maklum balas yang diterima daripada ibu bapa di negeri itu.

Jelasnya, rata-ratanya menzahirkan kebimbangan berkenaan kaedah pembelajaran di rumah ekoran halangan capaian internet dan peranti yang dihadapi dan meminta kementerian mempertimbangkan pembelajaran secara bersemuka khusus bagi pelajar di tingkatan lima dan enam.

“Kapasiti asrama itu penting kalau kita hendak laksanakan, perlu memastikan bahawa mempunyai kapasiti yang mencukupi. Kementerian memaklumkan kepada JPN Sabah untuk melihat perkara ini secara lebih mendalam. 

“Ini adalah perancangan seperti mana saya sebut tadi, perancangan berdasarkan keadaan semasa. Memang terdapat perbincangan bahawa bolehkah anak-anak ini duduk di asrama sehingga mereka selesai peperiksaan SPM, STPM dan itu merupakan perkara yang kita sedang teliti,” katanya dalam sidang akhbar khas di Putrajaya hari ini.

Untuk rekod, sehingga semalam, sebanyak 2,801 buah sekolah telah ditutup di seluruh negara atas nasihat Kementerian Kesihatan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, Mohd. Radzi menambah, kerajaan tidak berpeluk tubuh dalam menyelesaikan masalah liputan internet yang membelenggu sesetengah pelajar dengan memperkenalkan modul pembelajaran di rumah.

Ujarnya, modul berkenaan akan disediakan oleh pihak sekolah terlibat dan ia tidak hanya diguna pakai di Sabah sahaja tetapi turut melibatkan negeri-negeri lain yang mempunyai masalah serupa.

“Maknanya ibu bapa boleh ambil di sekolah dan membolehkan pelajar menggunakannya di rumah dan seterusnya dihantar kembali kepada pihak sekolah. Jadi itu kaedah yang digunakan dalam kawasan yang mana aksesnya agak terhad, juga pelajar tidak mempunyai peranti. 

“Itu keadaannya di kawasan-kawasan bukan sahaja di Sabah, ada di tempat lain yang kita gunakan kaedah sama apabila akses internet perlahan dan minimum,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya