SONGKHLA (THAILAND): Tiga rakyat Malaysia termasuk seorang wanita ditahan pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang dibakar di krematorium dekat sebuah kuil di Koh Yorwa, Daerah Mueang di sini, Isnin lalu.
Ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 30-an hingga 40-an itu ditahan di Pusat Pemeriksaan Kastam dan Imigresen Sadao kira-kira pukul 5.30 petang kelmarin, semasa cuba melintasi sempadan.
Jurucakap Balai Polis Mueang berkata, kes itu terbongkar selepas pihaknya menerima maklumat daripada penjaga sebuah kuil di kawasan Koh Yorwa Songkhla mengenai penemuan mayat yang dibakar di krematorium kawasan berkenaan pada 8 Jun lalu.
“Hasil pemeriksaan di lokasi menemukan beberapa bukti termasuk kepingan abu menyerupai jantung kanak-kanak, pakaian dan sarung tangan.
“Siasatan lanjut mendapati abu mayat itu dipercayai milik seorang bayi berusia antara lapan bulan hingga sembilan bulan. Semua barang kes disita untuk siasatan forensik,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jurucakap polis itu berkata, pihaknya memperluas siasatan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian.
Katanya, saksi memaklumkan kira-kira pukul 3 pagi pada hari kejadian, terdapat sebuah kereta bernombor pendaftaran Malaysia dilihat sebelum memasuki kawasan krematorium wat berkenaan.
“Siasatan seterusnya mendedahkan seramai lapan rakyat Malaysia yang menaiki dua buah kereta berada di lokasi tersebut.
“Polis percaya mereka mungkin terlibat dalam jenayah itu dan usaha mengesan kesemua individu berkenaan sedang dijalankan,” ujarnya.
Menurutnya, identiti lima lagi suspek telah dikenal pasti dan nama mereka dimasukkan ke dalam sistem maklumat imigresen di semua pintu masuk negara bagi menghalang mereka melarikan diri. – UTUSAN










