'Berpisah tujuh bulan, bersama hanya dua minggu' - Utusan Malaysia

‘Berpisah tujuh bulan, bersama hanya dua minggu’

MOHD. Azaruddin Tukari memeluk isteri dan anaknya selepas tujuh bulan tidak bertemu kerana terpaksa tinggal di Singapura berikutan pintu sempadan ditutup sejak Mac lalu. – FOTO/MASSOEZAILIN SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Setelah tujuh bulan terpisah akibat pintu sempadan ditutup, seorang pekerja Malaysia di Singapura akhirnya dapat bertemu keluarganya baru-baru ini.

Akhirnya perasaan rindu Mohd. Azaruddin Tukari, 35, ter­ubat apabila dia dapat pulang bertemu isterinya, Massoezalin Salleh dan tiga anak mereka berusia antara 10 hingga lima tahun di sini menerusi inisiatif Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Meskipun hanya seketika, Mohd. Azaruddin berkata, kepulangannya itu dapat mengubat segala kedukaan sepanjang berada di Singapura demi mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

“Hanya kami (pekerja Malaysia) yang mengetahui pera­saan rindu ini, ia tidak boleh digambarkan dengan sebarang perkataan sekalipun melainkan satu sahaja iaitu syukur apabila dapat berjumpa dengan isteri dan anak-anak selepas tujuh bulan tidak berjumpa.

“Alhamdulillah walaupun pu­lang hanya dua minggu, tetapi saya puas sangat kerana tiada siapa boleh tahu perasan dan emosi yang tinggal berjauhan dengan keluarga tersayang,” ka­tanya yang berkerja sebagai kapten bas kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

MOHD. Azaruddin Tukari melepas rindu dengan anak-anak dan isterinya dari kiri, Iris Damia, Inez Damia, isterinya, Massoezailin Saleh dan Irene Damia selepas tujuh bulan berpisah akibat pendemik Covid-19 di rumahnya di Taman Mawar, Pasir Gudang, JohorBahru semalam. – FOTO/RAJA JAAFAR ALI

Terdahulu, satu video yang merakam babak Mohd. Azaruddin menyamar sebagai pekerja penyelenggara pendingin hawa datang ke rumahnya di Johor Bahru tular dalam media sosial.

Tiga anak perempuannya tidak menyangka rupa-rupanya lelaki berkenaan adalah bapa mereka sendiri sehingga menye­babkan video tersebut menda­pat reaksi sedih dan simpati orang ramai khususnya netizen.

Menurut hantaran Facebook Massoezalin, dia dan suami berbuat demikian demi memberi kejutan kepada anak-anaknya yang selama ini hanya dapat bertemu menerusi panggilan video.

Katanya, doa dia dan semua ahli keluarga dimakbulkan Allah apabila mereka dapat bertemu walaupun sebelum ini menye­rahkan kepada takdir untuk menentu segalanya.

“Allah pinjamkan 14 hari untuk kita bersama. Pada Sabtu depan, kita terpaksa berpisah semula. Setiap kali pandang suami, seakan tak percaya yang dia ada di sisi.

“Kami doakan sesiapa sahaja yang terpisah kerana virus ini, Allah akan satukan kamu semua dengan segera. Semoga virus ini Allah angkat dan hapuskan dari bumi dengan segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×