Anwar jadi Perdana Menteri atau tidak bergantung majoriti sokongan yang didakwa wujud - Utusan Malaysia

Anwar jadi Perdana Menteri atau tidak bergantung majoriti sokongan yang didakwa wujud

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kemungkinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri atau sebaliknya bergantung kepada jumlah majoriti ahli Parlimen yang didakwa ‘benar-benar wujud’ menyokong Presiden PKR itu.

Pakar Perlembagaan, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, jika benar dakwaan yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong esok wujud, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Menurutnya, jika dakwaan Anwar terbukti, Ketua Pembangkang itu akan dilantik menjadi Perdana Menteri.

“Sama ada Anwar akan dilantik menjadi Perdana Menteri, itu bergantung sama ada majoriti yang didakwa beliau itu wujud.

“Jadi tak perlulah menjangka, apa Yang di-Pertuan Agong perlu buat sudah disebut oleh Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Abdul Aziz yang juga Naib Pengerusi DAP Perak berkata, pihak yang mendakwa Perdana Menteri baharu tidak boleh dilantik disebabkan Perdana Menteri sedia ada masih ada merupakan pihak yang jahil undang-undang.

“Apabila Anwar terbukti ada majoriti, secara automatik Muhyiddin hilang majoriti dan wajib letak jawatan.

“Tak masuk akal dua-dua pihak ada majoriti,” katanya.

Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi berkata, kes Anwar sama seperti perubahan kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Perak pada 2009.

Menurutnya, ketika itu UMNO mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dipecat.

“Mohammad Nizar dipecat setelah permohonan pembubaran DUN ditolak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN