50 peratus bekalan daun ketum dari Felda - Utusan Malaysia

50 peratus bekalan daun ketum dari Felda

SUPERINTENDEN Abdul Razak Md. Din (kiri) melihat antara daun ketum yang dirampas sepanjang penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis dalam sidang akhbar di Pos PB 11, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR : Pasukan Gerakan Am (PGA) mendedahkan 50 peratus sumber daun ketum yang diseludup ke negara jiran membabitkan bekalan daun dari kawasan Felda di negeri ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 18 PGA Pengkalan Hulu, Superintenden Abdul Razak Md. Din berkata, ini kerana tiga kawasan Felda tersebut terletak berhampiran dengan kawasan sempadan di sini yang memudahkan bekalan daun ketum diambil seterusnya di seludup ke negara jiran.

Katanya, baru-baru ini, sebanyak 6,000 kilogram atau enam tan metrik daun ketum dirampas juga membabitkan bekalan dari kawasan Felda.

Justeru katanya, langkah pihak berkuasa menebang pokok ketum di Felda sememangnya membantu dalam mengurangkan aktiviti penyeludupan daun ketum.

“Ya, kira-kira 50 peratus bekalan daun ketum yang diseludup datang dari pokok yang ditanam di kawasan Felda. Sebelum ini, memang banyak pokok ketum di kawasan Felda tersebut.

“Setiap pokok yang subur boleh menghasilkan puluhan kilogram daun ketum sehari, malah jika setiap penduduk ada 10 pokok sudah cukup untuk mengaut keuntungan yang lumayan,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan kejayaan Batalion 18 PGA dalam penugasan Op Wawasan Kedah/Perlis di Pos PB 11 di sini, hari ini.

Kelmarin, polis negeri bersama Jabatan Tanah dan Galian serta Felda melakukan operasi membersihkan penanaman pokok ketum di kawasan Felda dengan kira-kira 250 pokok tersebut ditebang di Felda Mata Ayer.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad dilaporkan berkata, penebangan pokok ketum itu diteruskan di dua lagi kawasan Felda di negeri ini melibatkan keseluruhan lebih 2,000 pokok dengan mengambil masa sebulan.

Sementara itu, Abdul Razak memberitahu, pihaknya merampas sebanyak 19.6 tan metrik daun ketum sepanjang sebulan penugasan batalion tersebut dari 1 September sehingga hari ini membabitkan nilai RM716,980.

Katanya, jumlah rampasan tersebut adalah terbesar dalam tempoh lima tahun bagi sesebuah batalion yang menjaga kawasan sempadan yang bertukar setiap bulan.

“Jumlah paling besar kita rampas adalah dalam satu operasi baru-bari ini membabitkan 6.3 tan metrik daun ketum. Malah, boleh dikatakan setiap hari ada rampasan daun ketum ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya