40,000 benih ikan lampam, teruboi dilepas di Tasik Gubir - Utusan Malaysia

40,000 benih ikan lampam, teruboi dilepas di Tasik Gubir

AHMAD Tarmizi Sulaiman (kanan) melepaskan benih ikan ke dalam Tasik Gubir, Sik semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Jabatan Perikanan Negeri Kedah melepaskan kira-kira 40,000 benih ikan air tawar spesis lampam jawa dan teruboi di Tasik Gubir dekat sini semalam.

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, benih ikan tersebut dilepaskan bagi meningkatkan jumlah ikan air tawar yang terdapat di dalam tasik tersebut.

Menurutnya, kebanyakan penduduk berdekatan seperti Kota Aur di sini menjadi tasik tersebut sebagai sumber pendapatan dengan menangkap ikan untuk dijual di pasaran.

“Benih ikan yang dilepas ini diharapkan dapat menambah sumber pendapatan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Agensi Bersama Komuniti Nelayan di Dataran Tasik Gubir dekat sini semalam.

Pada majlis itu, Ahmad Tarmizi yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) melepaskan kira-kira 40,000 benih ikan tersebut di tasik berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komuniti, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin pula berkata, beliau percaya Tasik Gubir akan menjadi antara kawasan memancing yang popular di negeri ini selepas ini.

“Diharapkan suatu masa nanti, kawasan Tasik Gubir ini akan menjadi tarikan kepada pelancong baru terutamanya dalam kalangan peminat aktiviti memancing,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Tasik Gubir, Lamin Shaari pula berkata, kira-kira 50 ahli persatuan itu menjalankan aktiviti menangkap ikan di tasik berkenaan.

Katanya, antara spesis ikan yang terdapat di tasik itu ialah toman, haruan dan baung.  

“Kami berharap Jabatan Perikanan Negeri Kedah mengambil inisiatif tambahan untuk melepas anak benih ikan baung pula ke dalam tasik itu bagi meningkatkan pendapatan ahli,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.