SHAH ALAM: Sebanyak 145 kawasan yang terjejas akibat gangguan air akan mula menerima bekalan itu bermula pada tengah malam ini.
Semua lokasi itu melibatkan kumpulan pertama di kawasan sekitar daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman berkata, pemulihan bekalan air sepenuhnya itu terbahagi kepada tiga kumpulan utama.
“Kumpulan pertama merangkumi 145 kawasan akan menerima bekalan air pada pukul 6 petang esok dengan pengguna terawal mula mendapatnya pada pukul 12 tengah malam ini.
“Bagi kumpulan kedua iaitu 91 kawasan, bekalan air akan pulih pada 8 Oktober pukul 6 petang, manakala kumpulan ketiga merangkumi 38 kawasan pula pada 9 Oktober,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah beroperasi semula pagi tadi dan penstabilan proses rawatan air turut sedang dijalankan.
“Air bersih ini akan melalui ujian kualiti dan pematuhan berdasarkan standard Kementerian Kesihatan sebelum diagihkan kepada pengguna.
“Kita berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.
Jelas Suhaimi, sebanyak 98 lori tangki air telah digerakkan ke premis kritikal, sekolah dan kawasan perumahan yang terjejas.
“Selain itu, sebanyak 26 tangki statik, 11 stesen pengisian setempat dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) serta 13 pili awam disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terjejas,” ujarnya.
Para pengguna disaran merujuk saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com untuk mendapatkan jadual pemulihan bekalan air. -UTUSAN