KUALA LUMPUR : Terlalu Islamik dan tidak fokus kepada pendidikan sebenar didakwa menjadi punca kebanyakan ibu bapa bukan bumiputera memilih sekolah vernakular untuk anak-anak mereka berbanding sekolah kebangsaan.
Ini kesimpulan yang diperoleh tiga ahli panel menerusi sesi debat bertajuk Suara Gerak Independent: The Vernacular School Debate yang dijalankan secara langsung menerusi aplikasi Zoom dan dikongsikan menerusi Facebook, malam tadi.
Debat itu merupakan anjuran Maju Foundation yang diasaskan oleh peguam dan aktvitis, Siti Kasim.
Menurut kesemua ahli panel, sistem di sekolah kebangsaan sangat menekankan aspek keagamaan berbanding di sekolah-sekolah vernakular yang menekankan bahasa ibunda, perpaduan dan pengetahuan.
Aktivis sosial yang juga Penasihat Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Doraisamy berkata, sesuatu mesti dilakukan dan sistem pendidikan negara perlu diubah.
Katanya, falsafah pendidikan negara juga dilihat terpesong kerana tidak berunsurkan pengetahuan,sains dan teknologi.
Sebaliknya, beliau berkata, sekolah kebangsaan berunsurkan keagamaan, pengagungan sesuatu bangsa dan mempunyai agenda-agenda halus.
“Lepasan sekolah kebangsaan adalah lebih berorientasikan agama berbanding orientasi pengetahuan. Apa guna pelajar-pelajar kita belajar sejarah Islam?
“Sekolah vernakular tidak pernah mempromosikan keagamaan dan agama bukan satu penekanan di sekolah vernakular. Pengetahuan dan bahasa ibunda adalah sentiasa menjadi keutamaan di sekolah vernakular. Ini menjadikan sekolah vernakular adalah lebih laku di pasaran kerja,” katanya dalam sesi debat berkenaan.
Sementara itu, Naib Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Phun Teck Seng berkata, sejarah sekolah vernakular di negara ini wujud sejak lebih 200 tahun dahulu.
Berdasarkan laporan Indo-China Gleaner, katanya, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) pertama ditubuhkan di Melaka pada 1815 dan berusia 205 tahun manakala sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) pada 1816 di Pulau Pinang.
“Mengikut angka ini, SJKC dan SJKT sudah wujud lebih 200 tahun dan berkembang mengikut dasar dan perancangan Kementerian Pendidikan. Sekarang, ia menjadi isu untuk dibincangkan dan dipertikaikan.
“Kurikulum di SJKC dan SJKT, buku dan isi kandungan digubah, dicetak oleh Kementerian Pendidikan dengan tapisan begitu ketat, adakah siapa boleh pertikai isi kandungan
dan mesej perpaduan di sekolah vernakular?
Dalam pada itu, ahli korporat, Sam Saad pula memberitahu, sekolah agama juga merupakan sekolah vernakular dan hal ini tidak perlu dijadikan isu perkauman.
Beliau sebaliknya berasa bimbang mengenai masa depan para pelajar yang mengikuti pengajian di sekolah agama dan pusat tahfiz.
“Apa yang menakutkan saya adalah apabila banyak anak-anak dihantar ke sekolah agama dan tahfiz. Bagaimana masa depan mereka dan apa pekerjaan yang akan mereka lakukan.
“Jika kita pupuk minat dalam sains pada usia muda, ia akan menyerlahkan bakat mereka ketika di sekolah menengah dan universiti,” ujarnya. – UTUSAN










