Telaga tiub, sumber air bersih 1,700 penduduk - Utusan Malaysia

Telaga tiub, sumber air bersih 1,700 penduduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kira-kira 1,700 penduduk telah mendapat manfaat sumber air bersih daripada pembinaan telaga tiub dan Sistem Penapisan Air Tanah Ringkas (SPATR) di Kampung Kulambai, Kota Belud.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan Persekutuan telah membelanjakan hampir RM75,000 untuk menampung kos kerja-kerja kajian potensi sumber air bawah tanah, membina telaga tiub dan membangunkan sistem penapisan berkenaan.

Beliau menjelaskan. dengan keupayaan luahan sebanyak 72,000 liter sehari, ia akan dapat membantu penduduk di sekitar kampung itu mendapatkan air bersih.

“Pembinaan telaga ini telah dimulakan pada April 2019 dan siap sepenuhnya pada Oktober 2019. Ini adalah antara usaha kerajaan untuk menyediakan bekalan air alternatif luar bandar kepada penduduk kampung yang sering menghadapi masalah air.

“Kita berharap Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan meneruskan usaha murni ini untuk membantu menyelesaikan masalah air terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya ketika berucap merasmikan majlis itu semalam.

Projek yang telah dibangunkan oleh JMG Sabah dengan bantuan Pejabat Daerah Kota Belud itu akan membantu rakyat di kawasan-kawasan yang memerlukan air, terutamanya yang mengalami gangguan bekalan air semasa musim kemarau dan tengkujuh.

JMG Sabah juga telah mengenal pasti beberapa lokasi dalam daerah Kota Belud, Beaufort dan Kota Marudu dan akan melaksanakan pembinaan telaga dan sistem penapisan pada tahun ini dan tahun depan.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar menambah, kerajaan pada dasarnya sentiasa menyokong semua usaha yang dapat memberikan kesejahteraan rakyat seperti memberikan bekalan air yang mencukupi.

Beliau memberitahu, kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM2.4 juta pada tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah di seluruh Sabah.

“Antara projek pembangunan berkaitan sumber air bawah tanah itu ialah Projek Penilaian Rezab Air Tanah di Lembangan Kedamaian (Kota Belud) dan Projek Pembangunan Sumber Air Tanah di Kawasan Bermasalah Bekalan Air Bersih di beberapa daerah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya