KUALA LUMPUR: Penggunaan ganja jenis ‘hemp’ dalam sektor perubatan dalam negara wajar dipertimbangkan kerana ia terbukti berkesan untuk merawat beberapa jenis penyakit termasuk masalah sawan dalam kalangan kanak-kanak.
Pengarah Pusat Racun Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Isa Abdul Majid berkata, masih ramai menolak penggunaan ganja dalam sektor perubatan kerana kurangnya pemahaman masyarakat mengenai kepentingan dan kepelbagaian jenisnya.
“Selain penggunaannya yang jelas berkesan untuk merawat beberapa penyakit, masyarakat juga harus dimaklumkan mengenai tujuan penggunaan ganja jenis hemp kerana kandungan bahan yang mengkhayalkan dalam hemp adalah sangat rendah jika dibandingkan dengan ganja jenis lain.
“Semua harus maklum bahawa ganja jenis hemp mampu merawat masalah kesihatan seperti sawan dalam kalangan kanak-kanak dan sememangnya terbukti tiada ubat lain yang lebih berkesan berbanding hemp,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dilapor mengumumkan kerajaan akan membenarkan penanaman hemp, sejenis ganja daripada spesis Cannabis sativa bagi tujuan penyelidikan pihak industri.
Namun beliau turut menegaskan bahawa penanaman kanabis bagi tujuan perubatan dan sebagainya, masih tidak dibenarkan selagi undang-undang tidak dipinda.
Mengulas lanjut, Mohamed Isa berkata, sekiranya undang-undang dipinda untuk isu berkenaan, kerajaan harus mengambil kira beberapa perkara bagi mengelak penyalahgunaan bahan tersebut.
“Kita harus berhati-hati dalam melaksanakan perkara ini. Semua harus maklum bahawa ganja tidak dinafikan memang ada kegunaannya tetapi kita kena ingat kegunaannya hanya dalam sektor perubatan dan memerlukan nasihat pakar.
“Setiap proses bermula daripada semaian sehingga tuai harus dijalankan dengan amanah serta harus mempunyai kawalan yang ketat supaya produk akhir tidak tercicir masuk ke pasaran gelap,” ujarnya.
Negara jiran, Thailand dilaporkan akan mempromosikan ‘hemp’ sebagai tumbuhan ekonomi baharu, dengan sokongan bagi pelaksanaan penyelidikan mengenai produk kesihatan berasaskan tumbuhan itu.
Beliau menambah, kempen-kempen pemberitahuan harus dijalankan bagi mengubah perspektif masyarakat mengenai ganja terutama jenis hemp.
“Kempen yang patut kita buat sekarang adalah untuk menghentikan masyarakat mengaitkan ganja dengan penyalahgunaan sahaja. Dalam kumpulan ganja ada juga hemp. Jadi, kita perlu banyakkan kempen kesedaran supaya orang ramai jangan anggap ganja hanya memudaratkan sahaja,” katanya. – UTUSAN








