KDN saran Pusat Racun Negara kaji peranti IQOS

KDN saran Pusat Racun Negara kaji peranti IQOS

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin (tengah) berkenan mengurniakan anugerah ikon keluarga kepada Dr. S. Darshani sempena Seminar Menangani Gejala Dadah dan Apresiasi Kepulihan AADK 2025 di Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyarankan Pusat Racun Negara untuk mula membuat kajian terhadap peranti pemanas tembakau atau IQOS sebagai salah satu usaha untuk mengekang ancaman dadah di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun kesannya terhadap kesihatan belum diketahui, namun kajian awal itu boleh dilakukan terlebih dahulu sebagai persediaan kepada kerajaan untuk menggubal sebarang undang-undang berkaitan.

Katanya, pengajaran boleh diambil daripada penggunaan peranti seperti vape yang pada asalnya hanya alatan biasa sebelum cecairnya dicampur dengan pelbagai bahan termasuk dadah.

“Belum pun reda tentang vape, syarikat-syarikat rokok-rokok terkemuka dunia sudah keluarkan satu lagi (peranti), yang ini barang kali Pusat Racun Negara mungkin sudah boleh mula mengesan (kaji) juga (yang namanya) IQOS.

“Peranti ini tak burn (bakar), ia heat (panas), tagline mereka ‘if you don’t smoke, don’t start. If you smoke, try to quit. If you can’t, switch to our product’. Itu kempen dia, sama ada beri kesan kesihatan atau tidak, belum kita tahu,” katanya pada Seminar Menangani Gejala Dadah dan Apresiasi Kepulihan AADK 2025, hari ini.

Program tersebut dirasmikan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin. Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Saifuddin berkata, beliau menyedari cabaran yang menanti semua pihak tentang industri berkaitan tembakau itu dan Kementerian Kesihatan (KKM) terutamanya perlu menguruskan banyak perkara.

Sementara itu ujar beliau, pendedahan oleh Pusat Racun Negara tentang vape amat menggerunkan dan kerajaan sedar bahawa undang-undang dan peraturan berkaitan tidak lagi seharusnya bersifat statik.

“Kita tak mampu catch up (mengejar) penemuan-penemuan bahan baharu, racun baharu. Kalau nak tunggu masuk senarai racun baru kita nak buat kerja, tak jadi apa. Jadi kita boleh cadangkan kalau boleh supaya pindaan itu harus bersifat generic (umum).

“Tetapi mampu mencakupi kehendak sebenar maksud undang-undang. Kalau nak tunggu semuanya perfect (sempurna), tentu ada saja ruang lolosnya. Kita sangat hargai finding (dapatan) Pusat Racun Negara yang menakutkan,” katanya.

Beliau turut mengakui, usaha kerajaan melawan musuh utama negara iaitu dadah yang sudah memasuki empat dekad tidak sepenuhnya berhasil buat masa ini.

“Kalau setakat bercerita masalah, kita dah tahu. Yang kita tunggu-tunggu adalah apa ikhtiar, apa kelainan. Kalau kita mengharap cara yang sama, bekerja dengan cara yang sama tapi mengharap hasil yang berbeza we’ll never get there (kita tidak akan capainya).

“Oleh itu, kita nak memulakan sesuatu yang lain bersama kumpulan pakar, kerana zaman di mana the government knows best (kerajaan tahu yang terbaik) sudah berakhir. Zaman ini, zaman kita kena sinsing lengan sama-sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×