SPRM tak halang Guan Eng masuk Sabah - Utusan Malaysia

SPRM tak halang Guan Eng masuk Sabah

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan menyekat kemasukan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke Sabah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, terdapat kekeliruan yang berlaku dalam isu melibatkan Ahli Parlimen Bagan yang kini terbabit dalam kes perbicaraan di mahkamah.

Menurutnya, Sabah mempunyai sistem Imigresen yang tersendiri dan berkemungkinan nombor pasport Guan Eng dikesan dalam pangkalan data yang menghalangnya untuk ke luar negara.

“Saya perlu betulkan kami tak pernah tahan beliau daripada memasuki Sabah, apa yang berlaku arahan mahkamah untuk dia tak boleh ke luar negara sahaja.

“Jadi, perjalanan dalam negara tiada masalah kerana beliau tidak disekat untuk ke mana-mana negeri termasuk Sabah dan Sarawak, mungkin ini hanya kekeliruan dan beliau pun sudah dibenar masuk ke negeri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog sempena program Cakna Rasuah SPRM Bersama Media Zon Selatan di Banda Hilir, di sini.

Malam tadi, Guan Eng mendakwa beliau dihalang masuk ke Sabah sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu biarpun berjaya melepasi Imigresen lapangan terbang itu selepas diberikan pas lawatan sosial.

Dakwanya, beliau dihalang oleh SPRM daripada memasuki Sabah dan telah diarahkan masuk semula ke pejabat Imigresen sebelum sempat menaiki kereta.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, SPRM Pahang telah diarah mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu pekebun haram durian Musang King di Raub sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Menurut Azam, SPRM negeri itu telah diminta untuk mengambil maklumat berkaitan daripada Pejabat Tanah dan Daerah Raub dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Kami baru menerima isu ini dan belum ada laporan rasmi dikemukakan (kepada SPRM), walaupun begitu saya telah arahkan Pengarah SPRM Pahang melihat isu ini kerana ia melibatkan kepentingan awam.

“Kami juga perlu mengenal pasti isu tentang bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana banyak dilaporkan media tetapi saya tidak boleh mengesahkan atau memberi sebarang komen terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya