KUALA LUMPUR: Isu pemotongan bayaran hasil membabitkan peneroka dan Felda tidak perlu berpanjangan dan diharap tidak berulang selepas permohonan maaf serta maklum balas yang dikemukakan agensi itu.
Pengerusi Pertubuhan Suara Generasi Baru Felda, A. Rashid Ridha Muhamad berkata, golongan peneroka kini memberi harapan sepenuhnya kepada Felda untuk menyelesaikan masalah ini secepat dan sebaik mungkin.
Malah katanya, dengan tindakan serta maklum balas itu, kemelut antara peneroka dan Felda juga dianggap selesai.
“Kami sangat menghargai jawapan ikhlas Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh yang membuat permohonan maaf sebelum ini.
“Isu ini diharapkan dapat ditangani dengan baik dan tidak lagi timbul kelewatan bayaran serta pemotongan hasil bayaran yang tiada butiran jelas. Kami juga mengharapkan tiada lagi potongan bayaran kepada peneroka berpendapatan kurang RM1,000 sebulan seperti di persetujui Felda sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Mingguan Malaysia sebelum itu melaporkan terdapat sebahagian peneroka berdepan pemotongan hasil bayaran tanpa ada butiran terperinci serta pemotongan melibatkan upah RM1,000 dan ke bawah.
Felda kemudian tampil memohon maaf dan mengakui berlaku kesilapan melibatkan masalah teknikal pada potongan kos operasi ladang bagi penyata pendapatan bulan Ogos lalu.
Menurut Felda, kesilapan berlaku disebabkan usaha mengautomasikan pemindahan data daripada Felda Technoplant Sdn. Bhd. (FTPSB) ke dalam sistem pembayaran Felda uang disatukan sejak April lalu. – UTUSAN










