Penghuni Arte S terseksa akibat lambakan homestay haram - Utusan Malaysia

Penghuni Arte S terseksa akibat lambakan homestay haram

PARA penghuni Arte S di Bukit Gambir di sini meminta pihak berkuasa segera menyelesaikan isu lambakan homestay haram di kawasan itu yang berlanjutan sejak dua tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN : Bunyi bising setiap hari, kawasan parkir penuh, kesesakan lalulintas malah terdedah kepada kejadian jenayah.

Itu masalah yang terpaksa dihadapi oleh kira-kira 100 pemilik kediaman perumahan mewah, Arte S di Bukit Gambir di sini sejak dua tahun lalu.

Semuanya berpunca daripada lambakan homestay haram atau rumah penginapan tidak berdaftar di dua blok bangunan Arte S yang kini dikatakan telah mencecah lebih 200 unit.

Seorang pemilik unit kediaman di situ, Eugene Chan berkata, masalah homestay haram di situ telah diadukan kepada pihak berkuasa iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak 2018 namun tiada tindakan tegas diambil kepada pemilik unit.

“Pelbagai masalah timbul disebabkan kegiatan homestay haram ini, walaupun ada serbuan oleh MBPP baru-baru ini namun homestay haram tetap beroperasi.

“Kami bimbang dengan soal keselamatan penghuni apabila terdapat kes-kes jenayah dilaporkan di homestay yang disewa malah warga asing turut bebas menyewa di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Arte S di sini semalam.

Menurut Chan, pernah berlaku warga asing yang menetap di homestay berhampiran rumahnya membuat bising sehingga ke tengah malam.

“Pemilik unit yang tinggal di sini merasa amat tidak selesa dengan apa yang berlaku di kawasan ini.

“Kami tidak tahu siapa dan apa latar belakang penyewa-penyewa homestay di sini, malah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung perniagaan homestay di sini berjalan seperti biasa,” katanya.

Chan menambah, penghuni juga bertambah bimbang apabila melihat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan Covid-19 juga tidak dipatuhi oleh penyewa-penyewa homestay di situ.

Dalam pada itu, peguam yang dilantik oleh penghuni di situ, Willie Ong berkata, penghuni menuntut pihak berkuasa untuk segera mengatasi masalah berkenaan.

“Pelbagai usaha telah dilakukan oleh penghuni namun tidak ada penyelesaian daripada pihak berkuasa, penghuni tidak teragak-agak untuk mengemukakan saman jika masalah ini berlarutan,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya