PBB perlu pastikan vaksin Covid-19 boleh diakses semua negara - PM - Utusan Malaysia

PBB perlu pastikan vaksin Covid-19 boleh diakses semua negara – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menetapkan ketegasan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar organisasi dunia itu perlu memastikan tidak ada diskriminasi terhadap semua negara dalam mendapatkan akses vaksin Covid-19 selepas ia dijumpai kelak.

Dalam ucapan Perdana Menteri dalam menyampaikan pendirian rasmi Malaysia di mesyuarat peringkat tinggi Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) bersempena ulang tahun ke-75, Muhyiddin menegaskan, isu pandemik Covid-19 telah menjadi krisis dunia, maka usaha menanganinya tidak boleh dibeza-bezakan kerana penularan jangkitan wabak itu tidak mengenal sesiapa.

“Wabak ini telah menyaksikan ramai terkorban dan telah memperlihatkan keupayaan dan keberkesanan sebenar sistem penjagaan kesihatan kita. Ia juga telah memberi kesan yang teruk kepada sosioekonomi. 

“Justeru, dalam hal ini, kita harus memastikan bahawa apabila vaksin Covid-19 dijumpai, ia mestilah dapat diakses oleh semua bangsa dan negara. Tidak boleh ada diskriminasi sama sekali,” katanya.

Ini merupakan ucapan sulung Muhyiddin di UNGA sejak menjadi Perdana Menteri pada Mac lalu dan mesyuarat berkenaan dilaksanakan secara maya disebabkan pandemik Covid-19 dan ucapannya itu telah diprarakamkan di pejabatnya di Putrajaya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia turut menetapkan pendirian terhadap PBB agar melakukan perubahan total memandangkan masih ramai menderita akibat konflik peperangan yang masih berlaku di beberapa bahagian di seluruh dunia.

Beliau berkata, dalam hal itu, PBB boleh dikatakan gagal untuk menyelamatkan beberapa generasi pewaris daripada kesengsaraan akibat peperangan.

Jelas beliau, walaupun diakui organisasi itu agak ‘baik’ dalam menyelesaikan beberapa isu di sepanjang tahun penubuhannya terutama dalam mempromosikan pembangunan sosial dan ekonomi, kita perlu jujur dan mengakui tentang kegagalan PBB tentang itu.

Perdana Menteri berkata, PBB kini amat diperlukan dan ia seharusnya sudah cukup lengkap bukan hanya dari segi kebebasan politik, tetapi juga dari segi sokongan berterusan negara anggota dalam menampilkan respons terhadap sebahagian daripada masalah besar yang dihadapi dunia.

“Inilah masanya untuk PBB menilai semula pencapaiannya memperbaiki kelemahan dan menghapuskan kesemua rintangan yang menghalang kemajuannya yang berterusan.

“Sejujurnya kami percaya dalam memperingati ulang tahun ini, ia menampilkan peluang keemasan kepada komuniti antarabangsa untuk melakukan yang lebih baik. Jangan kita melepaskan peluang ini. Mari kita bergerak ke hadapan bersama dalam membina masa hadapan yang kita mahukan dan PBB yang kita perlukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.