Nelayan tempatan guna pekerja asing semakin meningkat - Utusan Malaysia

Nelayan tempatan guna pekerja asing semakin meningkat

ANGGOTA Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) membuat pemeriksaan ke atas pekerja asing di sebuah sangkar ikan dalam operasi khas di perairan selatan Perak dan Pulau Pangkor dekat sini semalam. -UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan 13 warga asing termasuk 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi khas di perairan selatan Perak dan Pulau Pangkor dekat sini, semalam.

Dalam operasi yang turut disertai media itu, seramai lapan warga asing ditahan dalam serbuan di dua tapak sangkar ikan di perairan dekat Pulau Pangkor manakala lima lagi PATI ditahan dalam sebuah bot nelayan berhampiran gugusan Pulau Sembilan di perairan dekat Bagan Datuk.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, semua mereka berusia antara 23 hingga 40 tahun itu melibatkan lima orang Rohingya, empat warga Indonesia, tiga warga Nepal dan seorang warga Myanmar yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang daripada mereka iaitu warga Indonesia yang bekerja di sangkar ikan didapati memiliki pasport yang sah tetapi tidak mempunyai permit untuk bekerja di situ,” katanya pada sidang media di atas kapal KM Nyalau petang semalam.  

Hadir sama, Timbalan Pengarah Operasi Maritim Perak, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain.

Shahrizan berkata, operasi khas bersama media itu dilakukan awal pagi hingga petang bagi menunjukkan pengoperasian pasukan Maritim Perak dalam menguat kuasakan akta-akta Persekutuan sepanjang perairan negara khususnya di negeri itu.

Selain itu, menurutnya, operasi itu turut melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kapal dagang yang berlabuh di perairan Selat Dinding, bagaimanapun mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh pemilik, pengemudi atau pekerja di kapal tersebut.

Dalam pada itu, Shahrizan berkata, sejak 1 Januari hingga semalam, Maritim Perak sudah melakukan 73 tangkapan atas pelbagai kesalahan dengan 80 peratus daripadanya melibatkan kesalahan permit warga asing khususnya penggunaan warga asing dan PATI dalam sektor perikanan.

“Dipercayai penggunaan warga asing dalam bot nelayan tempatan semakin tinggi, bot mempunyai lesen yang sah cuma pekerja tidak mempunyai permit dan kebenaran sah daripada Jabatan Imigresen dan Jabatan Perikanan, majoritinya adalah warganegara Myanmar.

“Selepas siasatan, mereka dipercayai sudah bekerja di sektor perikanan di Perak sejak empat atau lima tahun lalu dan hasil siasatan awal, kekangan sumber manusia terutama di kalangan rakyat tempatan dalam sektor perikanan menjadi punca penggunaan warga asing ini.

“Perkara ini amat membimbangkan kita sebagai penguat kuasa apabila melibatkan musim pandemik Covid-19 sebab mereka tidak menjalani saringan, tetapi hasil pemeriksaan dan saringan kemudian mendapati semua mereka didapati negatif wabak itu,” katanya.

Menurutnya, tiada kemasukan PATI ke Perak sepanjang Ops Benteng Laut yang dilakukan sejak Mei lalu, tetapi hasil risikan mendapati memang ada usaha PATI untuk memasuki negara ini melalui perairan di sempadan Perak dan Selangor.

Beliau berkata, justeru, Maritim Perak sentiasa berwaspada dan bersiap siaga dengan meletakkan aset pasukan itu di lokasi berkaitan demi menghalang penyebaran Covid-19.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya