fbpx

Lesap RM199,096 diperdaya Macau Scam

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF
  • Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
  • 16 September 2020, 11:13 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang peniaga berusia 45 tahun di sini kerugian RM199,096 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwanya terlibat kes penggubahan wang haram. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 5 Ogos lalu, mangsa menerima panggilan telefon dari individu yang memperkenalkan dirinya wakil dari pejabat pos.

Katanya, suspek memaklumkan terdapat bungkusan mencurigakan dialamatkan kepada mangsa sebelum menyambungkan talian kepada suspek lain yang menyamar sebagai anggota polis.

“Pengadu (mangsa) dikatakan terlibat kes penggubahan wang haram. Bagi mengelak daripada ditangkap, pengadu diminta membuat bayaran.

“Dia telah membuat bayaran melalui 12 transaksi ke dalam tiga akaun dan dijanjikan pemulangan wang apabila kes itu telah diselesaikan nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd. Wazir menambah, mangsa menyedari ditipu apabila berterusan dihubungi dan diminta membuat pelbagai bayaran lain termasuk wang jaminan.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-UTUSAN

BERITA BERKAITAN