Kedudukan Mahkamah Syariah dipertahankan - PM - Utusan Malaysia

Kedudukan Mahkamah Syariah dipertahankan – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG : Kerajaan akan terus mempertahankan dan memperkasakan kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini yang merupakan institusi kehakiman dan perundangan syariah demi mendokong syiar Islam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa komited dalam menyokong usaha-usaha yang boleh menyumbang ke arah meninggikan martabat institusi berkenaan.

Beliau berkata, ini termasuk melakukan penambahbaikan secara berterusan terhadap bidang kuasa mahkamah syariah, perjawatan hakim-hakim syarie dan profesionalisme pegawai-pegawai mahkamah dari semasa ke semasa.

“Saya percaya penambahbaikan secara berterusan ini akan dapat melonjakkan imej institusi kehakiman dan perundangan syariah dalam menangani kes-kes yang semakin kompleks dan mencabar serta memenuhi keperluan masyarakat Islam secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara 2020, di sini semalam.

Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar.

Persidangan bertemakan “Aplikasi Maqasid al-Syar’iyyah : Ke Arah Pembudayaan Norma Baharu Dalam Sistem Kehakiman dan Perundangan Syariah” itu menghimpunkan  580 peserta pegawai syariah seluruh negara nusantara iaitu Brunei, Indonesia dan Singapura.

Muhyiddin pada masa sama menyeru JKSM mengambil inisiatif di peringkat serantau untuk mewujudkan suatu forum yang berperanan sebagai medium pertukaran maklumat dan amalan terbaik institusi kehakiman syariah yang boleh dikongsi dengan negara-negara serantau seperti Brunei, Singapura dan Indonesia. 

Kata beliau, melalui forum itu, perbincangan ilmiah mengenai fungsi Maqasid Syariah di negara-negara serantau dapat diadakan secara berterusan dalam membantu kerajaan dan pihak berkuasa agama negeri-negeri mendapatkan penjelasan berhubung isu-isu syarak yang kadang-kala agak rumit untuk ditangani secara bersendirian. 

“Saya sedar bahawa tugas dan tanggungjawab para Hakim Syarie dan Pegawai Syariah amat berat dalam menegakkan hukum berlandaskan syariat Islam. 

“Bagaimanapun, anda semua hendaklah menyempurnakan tugas yang diamanahkan dengan penuh sabar, ikhlas dan berintegriti. Insya-Allah, setiap tugas dan amanah yang dilaksanakan dengan penuh wibawa dan berintegriti akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat dan diberkati oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pendekatan pentadbiran kerajaan Malaysia adalah berlandaskan kelima-lima prinsip dalam Maqasid Syariah iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan sekalipun tidak semestinya dinyatakan dalam bentuk slogan atau label.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata, tema “Malaysia Prihatin” yang menjadi aspirasi kerajaan PN adalah demi memastikan kesihatan rakyat terpelihara daripada ancaman wabak Covid-19 yang melanda dunia dan keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan.

Kata beliau, walaupun pada zahirnya tidak nampak prinsip-prinsip maqasid ini diuar-uarkan sebagai kerangka dalam tindakan menangani Covid-19, namun hakikatnya ia telah menjadi panduan dalam menggerakkan usaha kerajaan untuk melawan pandemik ini.

“Keputusan dan tindakan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) adalah  hakikatnya merupakan pengaplikasian prinsip maqasid syariah.  Dengan statistik pertambahan pesakit dan juga kematian akibat pandemik ini, masyarakat sudah tentu memahami bahawa prinsip memelihara nyawa itu amat penting. 

“Sebagai pemerintah, menjadi tanggungjawab kerajaan yang prihatin untuk mengelakkan penularan wabak berbahaya ini yang boleh membawa kematian kepada rakyat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya