Kampung Jawa ‘lenyap’ jua akhirnya - Utusan Malaysia

Kampung Jawa ‘lenyap’ jua akhirnya

ZAINAL Abu (tengah) bersama pegawai serta anggotanya melawat kawasan perumahan usang yang akan dirobohkan pada hari esok di Kampung Jawa. -UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Nasib malang kira-kira 23 keluarga yang hidup daif di Kampung Jawa, di sini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila akhirnya mereka terpaksa mengosongkan kawasan penempatan itu yang didiami sejak 50 tahun lalu.

Sudahlah hidup dalam keadaan serba kekurangan, kini ada antara mereka runsing memikirkan tempat berteduh setelah menerima notis pemindahan daripada pemilik tanah ekoran Notis Bangunan Tidak Layak Diduduki yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Mengikut notis di bawah Seksyen 83(1) Akta 133, penempatan yang menempatkan kira-kira 50 orang termasuk kanak-kanak yang berada di pinggir Sungai Melaka itu dikategorikan sebagai tidak selamat untuk didiami.

Che Salehudin Abdullah, 67, yang tinggal sebatang kara di situ sejak 25 tahun lalu berkata, dia masih belum mendapat tempat berteduh sebelum kerja-kerja merobohkan binaan kayu itu bermula esok.

“Kami sudah dengar mengenai pengosongan ini sejak beberapa minggu lalu tetapi notis tersebut hanya ditampal pada Sabtu lalu, jadi memang tak sempat nak mencari bilik sewa lain.

Dia yang kini meraih pendapatan sebagai penjaga tandas berkata, ketiadaan sebarang pampasan atau sagu hati juga menyukarkan dia untuk membuat persediaan mencari alternatif lain.

“Saya tak tahu ke mana nak pergi, saya memang sudah lama tinggal di sini walaupun rumah kami macam pondok yang daif, pada siapa saya nak merayu,” katanya.

Pada 19 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk Kampung Jawa ibarat pelarian di tempat sendiri kerana terpaksa berhimpit di dalam rumah bersaiz bilik tidur dan hanya beratapkan bumbung yang bocor.

Norrina Osman, 57, pula berkata, dia sudah memperoleh sebuah bilik sewa di Pengkalan Rama setelah berhempas pulas mencari wang deposit untuk menjelaskan sewa bulanan berjumlah RM200.

“Saya terpaksa meminjam dengan adik untuk membayar deposit tersebut kerana saya tidak lagi bekerja selain mengalami sakit lutut dan tidak boleh berdiri terlalu lama.

Dalam pada itu, Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu berkata, tanah milik sebuah syarikat tersebut juga tidak sesuai didiami kerana faktor kebersihan selain dibimbangi terdapat kegiatan tidak bermoral.

Kata beliau, isu tersebut telah dibawa ke mesyuarat Exco sebelum memutuskan kerja-kerja perobohan perlu dilakukan mengikut Seksyen 83(1) Akta 133.

“Kita sudah berjumpa dengan pihak syarikat yang memiliki tanah tersebut dan melalui mereka juga kita dapat senarai dan jumlah penduduk di sini dengan 11 daripada mereka terdiri daripada dua keluarga manakala selebihnya adalah penduduk yang tinggal bersendirian,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Zakat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Daerah Melaka Tengah, Mohd. Nazri Ab. Rahim berkata, dua keluarga tersebut akan dibantu untuk mendapatkan penempatan baharu dengan kerjasama Lembaga Perumahan Melaka.

“Bagi mereka yang tinggal bersendirian sama ada bujang atau tidak mempunyai tanggungan, mereka boleh membuat permohonan untuk dipertimbangkan bentuk bantuan yang bersesuaian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya