Hapus segera ‘orang tengah’ - Utusan Malaysia

Hapus segera ‘orang tengah’

MOHD. Shazwan Suban
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu penglibatan orang tengah atau ejen menjual benih padi dengan harga tinggi dan tidak berkualiti tidak pernah selesai, sekali gus membebankan pesawah selain memberi kesan kepada penghasilan padi.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban (gambar) menggesa kerajaan mengambil tindakan segera menghapuskan penglibatan ‘orang tengah’.

Katanya, tanggungjawab membekalkan benih padi de­ngan harga diwartakan kerajaan iaitu RM28 bagi setiap 20 kilogram sepatutnya hanya diberikan kepada Jabatan Pertanian dan pihak-pihak bertangungjawab sahaja.

Mohd. Shazwan memberi­tahu, harga benih padi yang dijual ejen atau ‘orang tengah’ antara RM35 dan ke atas membabitkan berat sama.

“Masalah ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan secara tidak langsung, menjejaskan imej Jabatan Pertanian itu sendiri sekiranya pesawah menerima benih tidak berkualiti selain harganya mahal.

“Kerajaan perlu segera selaraskan hanya pihak-pihak ber­tangungjawab dibenarkan membekal benih padi ini se­perti yang berlaku dahulu.

“Kita tidak marah jika harga dijual ejen-ejen ini sedikit mahal, namun yang menjadi masalah ialah benih dibekalkan tidak berkualiti. Apabila tiada kualiti, ia memberi kesan kepada pertumbuhan padi se­perti penyakit dan masalah padi angin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin akhbar ini me­laporkan keluhan pesawah di Bagan Serai, Perak terpaksa membeli benih padi daripada orang tengah atau ejen pada harga mahal iaitu antara RM35 dan RM40 setiap 20 kilogram.

Mereka mendakwa kea­­­­da­an­ itu disebabkan penguasaan ejen atau individu tertentu dalam aktiviti tersebut.

Menurut Mohd. Shazwan, masalah penguasaan ejen atau ‘orang tengah’ bukan berlaku di negeri ini dan Kedah sahaja malah seluruh negara.

Katanya, setiap kali musim penanaman padi, masalah tersebut timbul, seolah-olah tiada usaha atau langkah serius diambil untuk menanganinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya