Dua bot nelayan asing ditahan Maritim Malaysia - Utusan Malaysia

Dua bot nelayan asing ditahan Maritim Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Dua bot nelayan asing yang menceroboh perairan Pahang di kedudukan lebih kurang 61,116 meter timur laut Pulau Tioman berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut kira-kira pukul 2.30 petang kelmarin. 

Pengarah Maritim Malaysia Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, dua bot berkenaan dengan nombor pendaftaran TG 98555 TS dan TG 95556 TS cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran kapal ronda Maritim Malaysia,  namun cubaan itu berjaya digagalkan. 

“Berdasarkan nombor pendaftaran, bot-bot itu dipercayai bot nelayan asing Vietnam. Pemeriksaan menemukan tiga tan hasil laut serta bekalan diesel sebanyak 3,000 liter.  Kesemua tekong dan kru berusia lingkungan 17 hingga 50 tahun adalah warga Vietnam dan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan sah. 

“Keseluruhan barang rampasan termasuk bot, peralatan menangkap ikan serta bekalan diesel dianggarkan bernilai hampir RM2 juta. Bot dibawa ke Pos Maritim Tanjung Gemok, Rompin dan kesemua kru ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Amran berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(3) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki dan menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia tanpa kebenaran serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pengenalan diri yang sah.

Jelasnya, jika disabitkan kesalahan kedua-dua tekong bot itu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta setiap seorang, penjara tidak melebihi tiga tahun manakala semua awak-awak boleh didenda tidak melebihi RM100,000 setiap seorang serta penjara tidak melebihi dua tahun. 

“Sehingga hari ini Maritim Negeri Pahang telah melakukan 2079 pemeriksaan dan 25 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan,” tambahnya.

Dalam pada itu, orang ramai disaran dapat memberi kerjasama dan bersama-sama membantu dalam menangani sebarang aduan kesalahan atau jenayah di perairan negara dengan menghubungi Talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya