Beri kelonggaran bayar cukai - Saravanan - Utusan Malaysia

Beri kelonggaran bayar cukai – Saravanan

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Sumber Manusia akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi membolehkan kelonggaran terhadap pekerja yang perlu membayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, tindakan memburu pekerja untuk membayar cukai LHDN dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disifatkan tidak sesuai memandangkan keadaan ekonomi negara masih perlahan serta dalam tempoh pemulihan.

Menurutnya, biarpun kementerian masih belum menerima sebarang aduan atau rungutan pekerja yang menghadapi masalah untuk membayar cukai kepada badan itu, kelonggaran yang sewajarnya patut diberikan.

“Kita harus beri kelonggaran kepada semua jenis bayaran kerana rakyat kini boleh dikatakan sedang menghadapi masalah besar membabitkan krisis kewangan akibat Covid-19.

“Saya akan berbincang dengan Menteri Kewangan supaya diberi sedikit kelonggaran mengenai perkara itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Konvensyen Badan Perhubungan MIC Negeri Melaka di D’Village Resort, di sini. 

Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan MIC negeri, Datuk M.S. Mahadevan. 

Mengulas lanjut, beliau yakin perkara itu tidak menjadi beban untuk diselesaikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang prihatin dengan nasib rakyat. 

“Mungkin pegawai (LHDN) menghantar notis mengikut peraturan sedia ada, jadi kita akan berbincang di peringkat Kabinet untuk melonggarkan sedikit atau beri sedikit tempoh masa untuk menjelaskan cukai tertunggak,” katanya. 

Sementara itu, Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC berkata, parti itu akan menampilkan lebih 50 peratus calon muka baharu untuk disenaraikan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, langkah itu bertepatan dengan hasrat Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran yang mahu meletakkan calon daripada generasi muda supaya mampu membawa aspirasi golongan belia sekaligus berpotensi untuk membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional (PN).

“Tetapi, senarai calon baharu itu masih belum dimuktamadkan berikutan ia perlu melalui beberapa proses sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PN mahupun Muafakat Nasional (BN).

“Kita akan memerhati perkembangan semasa atau keputusan di negeri Sabah dari segi daya pemikiran warga Malaysia dan kemudian MIC akan pastikan kita letak calon muda yang boleh mewakili MIC dan aspirasi golongan belia,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.