Presiden Yayasan Amal Malaysia, Tokoh Maal Hijrah Terengganu - Utusan Malaysia

Presiden Yayasan Amal Malaysia, Tokoh Maal Hijrah Terengganu

Hussin Ismail, 66 (dua kiri) dari Kampung Tebakang, Bukit Payong bersama ahli keluarganya selepas menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1442H/2020M pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri di Wisma Darul Iman.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengasas dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Hussin Ismail, 65,  hari ini dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri dalam majlis sambutan Maal Hijrah 1442H yang berlangsung di Wisma Darul Iman di sini semalam.

Hussin yang aktif dalam kerja-kerja sosial, dakwah dan kemanusiaan menerima wang tunai RM10,000 di samping tajaan umrah, set persalinan, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sepanjang 47 tahun penglibatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anak jati Marang ini telah mengetuai pelbagai program-program di peringkat antarabangsa antaranya misi dakwah bukan Islam di rantau Afrika dan pembangunan semula Marawi di Selatan Filipina.

Memulakan kerjaya awal sebagai guru Sains di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Intan di Kuala Berang, Hulu Terengganu, Hussin kemudian meneruskan kerjayanya dalam bidang korporat dan kini menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).

Di sebalik kesibukannya itu, bapa kepada sembilan anak yang kesemuanya bergelar hafiz dan hafizah ini turut menubuhkan rangkaian sekolah tahfiz, Akademi Al-Quran Amalillah sejak tiga tahun lalu.

Hussin ketika ditemui menyifatkan penganugerahan tertinggi itu sebagai penghormatan kepada seluruh pasukan NGO yang bersama-samanya dalam misi kemanusiaan dan kerja-kerja amal selama ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan tetapi ini bukan anugerah untuk saya semata-mata, kerana sumbangan dalam kerja-kerja berpersatuan adalah hasil kerja bersama dengan pasukan dalam NGO.

“Mungkin langkah yang digerakkan bersama rakan-rakan dalam NGO ini membolehkan saya dipilih mewakili mereka untuk menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Terengganu 2020, jadi terima kasih kepada semua yang terlibat,” katanya kepada pemberita.

Yang hadir sama, isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar dan barisan kepemimpinan kerajaan.

Dalam majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyampaikan anugerah Tokoh Imam Cemerlang kepada imam Masjid Bukit Kandis di Kuala Nerus, Mohamad Ghani, 65, di samping Tokoh Bilal Cemerlang, Ab. Rahman Ishak, 69.

Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya