Kubur wanita mati dibunuh komunis dalam masjid  - Utusan Malaysia

Kubur wanita mati dibunuh komunis dalam masjid 

MOHD. Saifuldin Mohamad (kiri) bersama ahli jawatankuasa masjid melihat kubur Nik Mah Nik Soh di ruangan solat Masjid Razaleigh di Bandar Lama, Gua Musang, Kelantan. UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Sebuah kubur wanita sarat mengandung yang menjadi mercu tanda sejarah di Masjid Razaleigh di Bandar Lama di sini wajar dipelihara untuk tatapan generasi akan datang.

Kubur Nik Mah Nik Soh yang berusia dalam lingkungan 20-an, mati dibunuh dengan kejam ketika zaman komunis, terletak di tengah-tengah masjid mukim itu.

Imam Muda Masjid Razaleigh, Mohd. Saifuldin Mohamad, 40, berkata, kubur yang terletak di masjid itu harus kekal menjadi bahan tinggalan sejarah buat generasi muda.

“Pada asalnya kubur tersebut terletak di luar masjid namun, selepas masjid baharu dibina kira-kira 50 tahun lalu menyebabkan ia berada dalam kawasan masjid.

“Dahulu kubur ini dipagar dengan besi dan dapat dilihat secara jelas, atas saranan seorang mufti, kubur ini ditutup dengan kotak kayu supaya tidak menganggu tumpuan jemaah yang singgah bersolat,” katanya ketika ditemui di sini.

Mohd. Saifuldin yang bertugas di masjid itu sejak 17 tahun lalu memberitahu, ahli keluarga Nik Mah tidak pernah datang untuk menuntut atau mengalihkan kubur berkenaan ke kawasan lain.

Masjid Razaleigh yang terletak di tengah-tengah kawasan pekan Bandar Lama merupakan masjid terawal dibina di Gua Musang dan pernah dijadikan masjid bandar. 

Mengikut sejarah tempatan, serangan komunis berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943.

Nik Mah bersama anak dalam kandungannya dipercayai berusia lapan bulan, dibunuh bersama 25 lagi orang Melayu yang terperangkap sewaktu berselindung dalam longkang berhampiran masjid itu. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya