Isu Jawi: Orang Melayu jangan apologetik - Utusan Malaysia

Isu Jawi: Orang Melayu jangan apologetik

RAIS Yatim berucap pada majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Nilai-Nilai Murni Yayasan Budi di Gelanggang Budi Taman Teluk Cempedak, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Orang Islam dan Melayu diingatkan supaya tidak bersifat apologetik dalam mempertahankan tulisan Jawi sebagai identiti kaum itu sejak zaman berzaman. 

Pengerusi Yayasan Budi, Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, orang Melayu tidak perlu takut jika ada pihak-pihak tertentu yang membantah atau menegur tentang tulisan Jawi. 

“Kita (orang Melayu) tidak boleh takut kerana Jawi adalah asas kepada orang Melayu. 

“Jadi apabila orang Melayu diberi kedudukan dalam Perlembagaan khusus untuk menimbulkan balik adabnya, budaya seperti Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, jadi kita tidak boleh tunggu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi Nilai-Nilai Murni Yayasan Budi di Gelanggang Budi Taman Teluk Cempedak di sini.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman. 

Baru-baru ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui memfailkan permohonan di mahkamah untuk mencabar ketetapan kerajaan Pahang untuk mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Mengulas lanjut, Rais berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan Pahang, Johor, Terengganu dan Kelantan kerana mewajibkan penggunaan  tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri berkenaan. 

Jelasnya, Yayasan Budi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus mempopularkan tulisan Jawi dengan mengadakan pelbagai program bagi memartabat penggunaan tulisan Melayu zaman berzaman itu. 

“Yayasan Budi dan DBP akan menganjurkan program di seluruh negeri untuk memberikan galakan, hadiah, bimbingan dan program-program asuhan yang lain,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya