Ahmad Redzuan cadang bina hospital APM - Utusan Malaysia

Ahmad Redzuan cadang bina hospital APM

MOHD. REDZUAN MD. YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KUALA TERENGGANU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof mencadangkan pembinaan hospital khusus bagi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebagaimana hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohd. Redzuan berkata, rancangan pembinaan hospital itu bertujuan menghargai jasa pasukan keselamatan yang memiliki lebih 2.2 juta sukarelawan berdaftar di seluruh negara termasuk ratusan ribu yang aktif.

“Saya berpendapat perkara ini boleh saya cadangkan kepada pihak kerajaan, tidak salah kalau kita mewujudkan satu pusat perubatan untuk APM seperti hospital ATM.

“Tetapi ini cuma cadangan kalau Kabinet bersetuju Alhamdulillah, kerana ini menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap kebaikan dan manfaat yang patut diberikan kepada pasukan APM yang dilantik sebagai sukarelawan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perjumpaan Khas bersama Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Hotel Paya Bunga (PB) di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan ​​​​Wahab; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak dan Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman.

Terdahulu, Mohd. Redzuan menyampaikan watikah pelantikan pegawai kehormat, pegawai bersekutu dan pegawai pasukan pertahanan awam kepada 34 orang penerima yang terdiri daripada kumpulan akademik dan profesional.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, APM sedang giat mengatur persediaan lengkap bagi menghadapi banjir pada tahun ini termasuk dengan menambah baik aset logistik, dan buat permulaan bakal membabitkan 30 kenderaan pacuan empat roda bagi diagihkan ke negeri-negeri terjejas bencana itu seperti Terengganu, Kelantan, Sabah di samping Kedah.

“Tambahan aset ini merupakan proses yang berterusan bagi memastikan APM sentiasa berada dalam kesiapsiagaan sebaik mungkin.

“Banyak juga kenderaan lain yang perlu kita perbaharui termasuk ambulans misalnya bagi membolehkan kerja-kerja menguruskan bencana banjir di samping kecemasan lebih efektif dan efisien,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya