Jho Low sah berada di Macau kata KPN - Utusan Malaysia

Jho Low sah berada di Macau kata KPN

jho low
JHO LOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Misteri di ma­­na lokasi Low Taek Jho me­nyem­bunyikan diri terjawab apa­bila ahli perniagaan yang le­bih dikenali dengan panggilan Jho Low itu disahkan berada di Macau, China.

Bukan sahaja di Macau, Jho Low dan ahli keluarganya juga dikesan bebas bergerak di Hong Kong. Perkara itu diakui Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Bercakap kepada Utusan Ma­­­­laysia, beliau berkata, ahli perniagaan yang menjadi buruan Malaysia selepas dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. itu ­mendapat perlindungan China.

Jho Low yang dikaitkan ada hubungan istimewa dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikatakan hidup bebas dan seronok di Macau..

Kata Abdul Hamid, pelbagai usaha dilakukan pihaknya namun kerjasama dengan pihak berkuasa China seolah-olah tidak ikhlas sebab itu proses ekstradisi Jho Low tidak dilaksanakan sehingga kini.

“Usaha membawa pulang Jho Low sudah lama, namun sehingga kini tiada jawapan yang meyakinkan daripada republik berkenaan.

“Jho Low memasuki Macau selepas dikesan berada di Thailand. Dua hari sebelum pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Jho Low masih berada di negara ini tetapi dia lari ke negara jiran selepas keputusan diumumkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Abdul Hamid berkata, ketika berada di Macau, tanpa rasa bersalah, Jho Low dikesan melakukan beberapa transaksi untuk membeli hartanah di negara itu menggunakan wang yang `dirompak’ di Malaysia.

“Sebelum itu, Jho Low dikesan cuba membeli hartanah di Cyprus tapi digagalkan. Bayangkan duit rompak berbilion dari Malaysia, berapa kerajaan selepas ini pun, hutang tersebut perlu dibayar.

Duit kita rakyat Malaysia yang digunakan untuk tanggung sampai habis hutang tersebut,” katanya.

“Bukan itu sahaja, kita juga berjaya menemukan beberapa lagi harta yang disembunyikan Jho Low dan keluarganya di negara ini iaitu di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang yang bernilai puluhan juta menggunakan wang 1MDB.

Katanya, walaupun pemburuan ahli perniagaan itu dilihat senyap namun risikan Polis Diraja Malaysia diteruskan.

“Risikan kami turut dibantu beberapa agensi negara lain kerana Jho Low melakukan transaksi untuk pembelian hartanah dengan berselindung di sebalik beberapa syarikat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, dedah Abdul Hamid, lokasi beberapa saksi dicari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes penyelewengan tersebut iaitu bekas Ketua Pegawai

Eksekutif SRC Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil, peguam 1MDB, Jasmine Loo, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee dan beberapa lagi individu telah dikesan.

“Kita tahu di mana geng-geng ini menyorok. Sebahagian daripada mereka dikesan berada di Thailand dan juga di Hong Kong.

“Seperti Nik Faisal, kita ada kesan anaknya bersekolah di sebuah sekolah swasta antarabangsa Perancis di Hong Kong. Sama ada betul atau tidak perkara itu, biar negara terbabit sendiri semak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya