Hospital tunggu laporan JPS, JKR - Utusan Malaysia

Hospital tunggu laporan JPS, JKR

OPERASI hospital kerajaan akan berjalan seperti biasa walaupun doktor kontrak berhasrat mengadakan mogok pada 26 Julai ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) akan mengeluarkan laporan lanjut punca kejadian banjir kilat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.

Pengarah HPSF, Dr. Muhammad Yusof Sibert berkata, JKR juga bersetuju menjalankan pemeriksaan terperinci kelancaran sistem saliran dan perparitan di hospital berkenaan.

“Banjir kilat di HPSF bukanlah pertama kali berlaku. Setiap kali banjir kilat, beberapa laluan utama di lobi hospital termasuk tempat letak kenderaan akan dinaiki air. Perkara ini telah dibawa dalam mesyuarat bersama JKR dan JPS.

“Hasil perbincangan, kedua-dua agensi bersetuju melakukan forensik bagi mengetahui punca sebenar masalah ini. 

“Saya dimaklumkan, JPS akan mengeluarkan laporan terlebih dahulu selewat-lewatnya minggu depan sebelum diserahkan kepada JKR, barulah pemeriksaan terperinci boleh dijalankan,” katanya.

Menurut Dr. Muhammad Yusof, banjir kilat dipercayai berpunca daripada sistem saliran yang mungkin terjejas akibat kerja-kerja menaik taraf dan membaik pulih bangunan lama hospital.

“Kerja-kerja naik taraf untuk menampung kapasiti pesakit dan pelawat selain terdapat struktur sudah rosak dan perlu baiki. Ini mungkin menyebabkan sistem saliran terganggu. Faktor tanah rendah juga menjadi penyumbang kepada kejadian itu,” katanya.

Beliau berharap kerja-kerja penyenggaraan dapat dilaksanakan segera untuk keselamatan dan kebersihan hospital.

Beberapa kawasan di HPSF dinaiki air setinggi kira-kira 30 sentimeter dalam kejadian banjir kilat pukul 10 pagi semalam, menjejaskan tempat letak kenderaan dan laluan pejalan kaki di Lorong Wawasan.

Dr. Muhammad Yusof berkata, air mulai surut 1 tengah hari dan kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan selepas itu. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya