33 mangsa banjir di Kulim berpindah ke PPS

33 mangsa banjir di Kulim berpindah ke PPS

DUA anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kulim melakukan pemantauan di kawasan rumah penduduk yang terjejas banjir di Kulim. - IHSAN APM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Seramai 33 penduduk daripada 10 keluarga di daerah ini menjadi mangsa banjir kilat dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setelah rumah mereka dinaiki air, malam tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, air naik susulan hujan lebat berterusan selama satu jam sejak 5 petang semalam yang mengakibatkan limpahan air sungai ke kawasan rendah.

Katanya, dua kampung terlibat iaitu Kampung Sungai Seluang Bawah dan Kampung Batu 7 yang menyebabkan mangsa berpindah ke PPS Masjid Al Muhtadin Sungai Seluang, Lunas.

“Kebanyakan mangsa berpindah sendiri ke PPS terbabit sejak pukul 10.45 malam tadi kerana tiada tempat tidur memandangkan air masih bergenang di dalam rumah. Namun, trend air mulai menurun dan tiada hujan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, beberapa kawasan lain turut terjejas, bagaimanapun air surut kira-kira sejam yang membolehkan penduduk kembali ke rumah masing-masing.

Jumaat lalu, seramai 44 mangsa banjir di daerah Bandar Baharu turut berpindah ke PPS Dewan Keda Sungai Tengas ekoran kediaman mereka dinaiki air, namun PPS itu ditutup keesokan hari setelah keadaan pulih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN