BANDAR BAHARU: Seramai 44 penduduk daripada 12 keluarga di daerah ini terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) setelah kediaman mereka dilanda banjir, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, kesemua mereka kini ditempatkan di PPS Dewan Keda Sungai Tengas yang diaktifkan sejak pukul 8.30 malam.
Katanya, lima kampung terjejas dalam banjir terbabit iaitu Kampung Sungai Tengas; Kampung Air Itam Dalam; Kampung Cherok Meranti; Kampung Paya Salak dan Kampung Batu Hampar.
“Hujan lebat selama beberapa jam mulai sebelah petang yang menyebabkan kawasan rendah dinaiki air,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, keadaan air Sungai Terunsing yang terletak di Kampung Sungai Tengas juga berada pada paras bahaya ketika ini. – UTUSAN










