Cuepacs gesa kerajaan kaji semula sistem e-Lelong - Utusan Malaysia

Cuepacs gesa kerajaan kaji semula sistem e-Lelong

ADNAN Mat (duduk, tengah) dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Persatuan Pelelong Negeri Pulau Pinang dan wakil negeri lain di Wisma CUEPACS di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan mengkaji semula sistem e-Lelong yang dilaksanakan di semua Mahkamah Tinggi seluruh negara bermula Januari lalu.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pelaksanaan sistem lelongan dalam talian itu bakal mengakibatkan lebih 2,300 pelelong tradisi kehilangan pekerjaan.

Katanya, ia menyebabkan mereka kehilangan pendapatan bulanan sekitar RM11.5 juta yang mana seorang pelelong mampu meraih pendapatan RM5,000 sebulan.

“Tugas pelelong tradisi ini bukanlah menjalankan kerja lelongan semata-mata sebaliknya mereka adalah penghubung antara kerajaan dan rakyat.

“Mereka menjadi penasihat pertama kepada individu yang mempunyai masalah tidak mampu membayar hartanah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Persatuan Pelelong Negeri Pulau Pinang dan wakil negeri lain di Wisma CUEPACS di sini hari ini.

Adnan berkata, penamatan khidmat pelelong ekoran pelaksanaan sistem tersebut juga bakal mewujudkan monopoli oleh syarikat yang merupakan panel pelelong bagi pihak bank.

Katanya, tindakan itu mewujudkan industri tidak sihat yang mana semua pelelong dilantik Mahkamah Tinggi sebelum ini melalui proses penggiliran namun kini ia dimonopoli oleh 10 syarikat pelelong berkapasiti besar.

“Selain itu, akses capaian internet rendah di beberapa kawasan termasuk luar bandar menyukarkan proses lelongan dijalankan, akhirnya hanya sebahagian melibatkan diri dalam proses lelongan,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian terbaik yang boleh dilakukan kerajaan adalah mengkaji semula pelaksanaan sistem tersebut atau memperkenalkan sistem lelongan hibrid iaitu satu sistem yang mana pelelong tradisi dapat mengambil peranan.

“Sistem hidrid ini memberi kemudahan kepada kedua-dua pihak kerana lelongan digabungkan secara dalam talian dan tradisi iaitu mereka hadir di tempat lelongan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya