KUALA LUMPUR: Lebih 700 peserta telah mengambil bahagian dalam Mask & Dash 5KM Fun Run yang julung kali dianjurkan, hasil kolaborasi antara Columbia Asia Hospital Cheras (CAH Cheras) dan AEON Cheras Selatan.
Larian ini bertujuan meningkatkan kesedaran kesihatan, mempromosi gaya hidup sihat dan memperkenalkan bangunan hospital yang baharu diperluas.
“Tema larian tahun ini, ‘Decades of Care: Together We Are One,’ sangat bermakna bagi kami. Ia selari dengan mesej bahawa kemajuan sebenar dalam penjagaan kesihatan lahir daripada usaha yang disemai selama puluhan tahun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Columbia Asia (Wilayah 1), Engku Marina Engku Hatim.
Katanya, melalui kerjasama itu mereka berhasrat membawa penjagaan kesihatan lebih dekat kepada komuniti, memudahkan keluarga dan individu mendapatkan perkhidmatan berkualiti dan pencegahan.”

Peserta mula berkumpul seawal pukul 6.30 pagi, disambut muzik rancak dan suasana penuh tenaga.
Selepas sesi pemanas badan, Engku Marina dan Pengurus Kanan Operasi AEON (Wilayah Tengah), Amran Latif, menyampaikan ucapan ringkas kepada para peserta. Suasana pagi itu ceria, meriah, dan penuh keterujaan.
Flag-off berlangsung pada pukul 7.30 pagi di hadapan Columbia Asia Hospital Cheras, dengan cuaca yang baik untuk memulakan larian.
Para peserta melalui laluan lima kilometer merentasi mercu tanda sekitar Bandar Tun Hussein Onn seperti AEON BiG dan Lake Valley sebelum menuju ke garisan penamat di AEON Mall Cheras Selatan, yang terletak bertentangan dengan hospital. – UTUSAN










