CARACAS: Venezuela mendakwa menumpaskan satu kumpulan dibiayai Agensi Perisikan Pusat ( CIA) yang merancang serangan terhadap kapal perang Amerika Syarikat (AS), ketika Washington meningkatkan tekanan dengan menghantar pesawat pengebom ke Caribbean.
Dakwaan itu dibuat sehari selepas Venezuela mengumumkan penahanan beberapa individu yang disifatkan sebagai tentera upahan yang mempunyai kaitan dengan CIA.
Menurut pihak berkuasa Venezuela, kumpulan itu merancang untuk menyerang USS Gravely, kapal pemusnah berpandu peluru yang berlabuh di Trinidad dan Tobago pada Ahad, tidak jauh dari pantai Venezuela.
Kehadiran kapal itu mencetuskan kemarahan di Caracas, yang menyifatkannya sebagai provokasi dan mendakwa ia bertujuan mencetuskan peperangan di Caribbean.
Menteri Luar Venezuela Yvan Gil dalam satu kenyataan berkata, beliau memberitahu kerajaan Trinidad dan Tobago mengenai rancangan untuk menyerang kapal perang AS yang ditempatkan di pulau itu dan kemudian menyalahkan Venezuela bagi mewajarkan tindakan ketenteraan terhadap negara itu.
Setakat ini, Pentagon mengerahkan tujuh kapal perang ke Caribbean dan satu lagi ke Teluk Mexico, kononnya bagi menjalankan operasi anti-dadah.
Presiden AS, Donald Trump turut mengumumkan ketibaan USS Ford, kapal pengangkut pesawat terbesar di dunia bersama armada pengiringnya.
Venezuela dan beberapa pemerhati percaya pentadbiran Trump menggunakan penempatan tentera itu untuk meningkatkan tekanan dan menggulingkan Presiden Nicolas Maduro, yang tidak diiktiraf Washington sebagai presiden sah negara tersebut.
Selain memperkukuh kehadiran tenteranya di laut, Trump baru-baru ini mengakui memberi kebenaran kepada operasi CIA di Venezuela dan mempertimbangkan serangan darat.
Sejak September, tentera AS memusnahkan sekurang-kurangnya 10 bot yang didakwa membawa dadah, menyebabkan 43 orang terbunuh di perairan antarabangsa.-AFP










