Russia dakwa Ukraine serang kediaman Putin

Russia dakwa Ukraine serang kediaman Putin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia mendakwa Ukraine melancarkan puluhan dron ke satu kediaman Presiden, Vladimir Putin, tuduhan yang dinafikan Ukraine sebagai ‘pembohongan’ bagi menggagalkan usaha diketuai Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov,yang biasanya jarang mengumumkan serangan dron berkata, Ukraine  melancarkan 91 kenderaan udara tanpa pemandu jarak jauh ke kediaman Putin di wilayah Novgorod antara lewat Ahad dan awal Isnin, namun kesemuanya berjaya ditembak jatuh.

“Memandangkan kemerosotan sepenuhnya rejim kriminal Kyiv, yang beralih kepada dasar keganasan negara, kedudukan rundingan Russia akan dikaji semula,” kata Lavrov, tanpa mengulas lanjut.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang bertemu Presiden AS, Donald Trump pada Ahad bagi membincangkan penyelesaian perang, menyifatkan dakwaan Russia itu sebagai ‘rekaan sepenuhnya’ yang bertujuan menggagalkan proses keamanan.

Beliau malah mencadangkan Moscow sedang bersiap untuk meningkatkan serangan ke atas Ukraine.

“Russia sekali lagi menggunakan kenyataan berbahaya untuk meruntuhkan semua pencapaian usaha diplomatik bersama pasukan Presiden Trump,” tulis pemimpin Ukraine itu di X.

Tuduhan Russia muncul pada saat penting dalam proses mencapai usaha damai.

Ukraine berkata, pihaknya sudah bersetuju dengan 90 peratus pelan keamanan yang digubal AS termasuk mengenai jaminan keselamatan pasca perang walaupun isu wilayah dan masa depan loji tenaga nuklear Zaporizhzhia yang kini dikuasai Moscow di selatan Ukraine masih belum diselesaikan.

Zelenskyy menegaskan, Kyiv bersedia untuk sebarang format pertemuan termasuk dengan Putin jika perlu, tetapi beliau masih meragui ketua Kremlin itu benar-benar mahu keamanan.

Pelan semasa, yang disemak semula selepas beberapa minggu rundingan intensif antara AS dan Ukraine, bertujuan menghentikan perang di barisan hadapan semasa di wilayah Donbas timur dan mewujudkan kawasan tanpa tentera.

Russia yang kekal senyap mengenai bahagian pelan AS yang sudah dipersetujui, berkata, negara itu masih komited terhadap proses perdamaian tetapi akan ‘mengubah’ kedudukannya susulan dakwaan serangan dron itu.

Moscow turut mengumumkan sudah mengambil alih sebuah lagi kampung di Dibrova, wilayah Donetsk di timur Ukraine.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×