Russia uji peluru berpandu berkuasa nuklear baharu, beri amaran kepada Barat

Russia uji peluru berpandu berkuasa nuklear baharu, beri amaran kepada Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Russia berjaya menguji peluru berpandu jelajah berkuasa nuklear terbaharunya, Burevestnik yang menurut Presiden, Vladimir Putin mampu menembusi sebarang sistem pertahanan peluru berpandu dan kini bersedia untuk dikerahkan.

Putin berkata demikian semalam ketika menghadiri mesyuarat bersama barisan jeneral yang mengetuai operasi ketenteraan di Ukraine, sambil menegaskan Russia tidak akan tunduk kepada tekanan Barat berhubung perang tersebut.

Ujian senjata itu turut diadakan selepas latihan nuklear berskala besar minggu lalu, sekali gus dilihat sebagai isyarat jelas kepada Amerika Syarikat (AS) dan Presidennya, Donald Trump, yang kini mengambil pendekatan lebih keras terhadap Moscow bagi menekan gencatan senjata di Ukraine.

Ketua Turus Angkatan Tentera Russia, Jeneral Valery Gerasimov, memaklumkan kepada Putin peluru berpandu tersebut terbang sejauh 14,000 kilometer selama 15 jam dalam satu ujian yang diadakan pada 21 Oktober lalu.

Menurut beliau, peluru berpandu 9M730 Burevestnik, yang digelar SSC-X-9 Skyfall oleh Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mempunyai jarak operasi hampir tanpa had serta laluan penerbangan yang sukar diramal, menjadikannya kebal terhadap mana-mana sistem pertahanan peluru berpandu sedia ada.

“Ia adalah senjata unik yang tiada siapa di dunia memilikinya,” kata Putin menurut kenyataan yang dikeluarkan Kremlin pada Ahad yang dipetik Reuters.

Sejak mengumumkan pembangunan Burevestnik pada tahun 2018, Putin menegaskan senjata itu dibangunkan sebagai tindak balas terhadap langkah AS membina sistem perisai peluru berpandu selepas Washington menarik diri secara unilateral daripada Perjanjian Anti-Peluru Berpandu Balistik (ABM) tahun 1972, serta tindakan memperluas keanggotaan NATO.

Putin turut mendedahkan sebelum ini beliau diberitahu oleh pakar Russia, projek tersebut mungkin mustahil direalisasikan, namun ujian terpenting itu kini telah berjaya disempurnakan.

Presiden Russia itu mengarahkan Gerasimov menilai kategori operasi peluru berpandu berkenaan serta mempersiapkan infrastruktur untuk tujuan penempatan.

Menurut penganalisis, pemilihan masa pengumuman kejayaan ujian itu seakan menjelaskan Putin sedang memberikan mesej politik tersirat kepada Barat dan terutamanya kepada Trump.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN