Israel akan kurangkan separuh jumlah trak bantuan ke Gaza - PBB - Utusan Malaysia

Israel akan kurangkan separuh jumlah trak bantuan ke Gaza – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menerima makluman rasmi daripada Israel mengenai keputusan untuk mengurangkan separuh jumlah trak bantuan kemanusiaan yang dibenarkan memasuki Gaza.

Pengurangan ini melibatkan jumlah 600 trak bantuan yang sebelum ini dijanjikan akan dibenarkan masuk selepas gencatan senjata diumumkan.

Jurucakap Timbalan Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq dalam sidang media pada Selasa berkata, Penyelaras Aktiviti Kerajaan Israel di Wilayah Palestin (COGAT) telah memaklumkan kepada PBB melalui surat bahawa jumlah trak bantuan ke Gaza akan dikurangkan sebanyak 50 peratus.

Menurut surat tersebut, keputusan itu dibuat kerana Hamas masih belum memulangkan mayat tahanan Israel yang terbunuh.

“Kami maklum mengenai mesej yang dihantar oleh COGAT Israel,” kata Haq.

Beliau menegaskan bahawa PBB mahu sebanyak mungkin bantuan kemanusiaan disalurkan kepada penduduk Gaza, sambil menyeru semua pihak supaya menunaikan komitmen masing-masing di bawah perjanjian gencatan senjata.

“Kami menyeru semua pihak agar menghormati janji mereka, termasuk pemulangan mayat tahanan yang telah meninggal dunia, serta melaksanakan semua ketetapan gencatan senjata terutamanya memastikan aliran bantuan kemanusiaan kepada orang awam di Semenanjung Gaza,” katanya.

Media Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melaporkan bahawa Israel telah memaklumkan kepada PBB mengenai rancangan untuk mengurangkan jumlah trak bantuan harian dari 600 kepada 300 di bawah syarat gencatan senjata, dengan alasan Hamas gagal menyerahkan segera semua mayat tahanan Israel yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN